PM Anwar rasmi pelabuhan AI, Linggi dan Port Dickson akan jadi hab ekonomi baharu

Oleh MALAYSIADATELINE

Kawasan seperti Linggi dan Port Dickson akan muncul sebagai hab ekonomi baharu yang berdaya saing di rantau ini dengan pembinaan Projek Midport Smart AI Port di Mukim Pasir Panjang walaupun lokasi itu tidak berada di arus perdana pembangunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di platform Facebook memaklumkan bahawa projek dirasmikan beliau semalam sekali gus melakar satu lagi lembaran penting untuk Negeri Sembilan dalam perjalanan pembangunan negara.

Anwar yang juga merupakan Kewangan itu menjelaskan bahawa pelabuhan pintar dibangun dengan berteraskan kecerdasan buatan (AI) tersebut bukan sekadar memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara maritim strategik di Selat Melaka.

Malah turut menjadi wahana baharu untuk mempertingkatkan kecekapan logistik, mempercepatkan urusan perdagangan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan memanfaatkan teknologi dalam mendepani ketidaktentuan global.

“Tatkala dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan, Malaysia memilih untuk terus mara dengan memperkukuh daya saing melalui teknologi, pendigitalan dan kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta.

“Inilah ikhtiar yang akan memastikan negara terus berupaya menongkah cabaran global, di samping membuka ruang pelaburan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat, khususnya generasi muda,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menekankan bahawa keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan manfaat pembangunan dirasai secara lebih seimbang memandangkan Agenda Madani bukan hanya mahu membina infrastruktur.

Sebaliknya turut memberikan tumpuan dalam mencapai matlamat untuk membina masa hadapan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan terutama buat seluruh rakyat Malaysia demi mencapai kesejahteraan serta kestabilan negara.

Baca juga: PRN N.Sembilan: “Kali ini kita bertembung dengan rakan di Persekutuan” – Mat Sabu