Pendedahan penceramah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang mendakwa bahawa pelajar tular dikaitkan dengan perbuatan memijak al-Quran merupakan seorang mualaf telah mengejutkan ramai pihak baru-baru ini.
Malah pendakwah itu sendiri menjadi saksi kesungguhan pelajar terbabit mendalami agama sebelum memutuskan untuk memeluk Islam pada 20 April tahun lalu selain turut menggunakan nama baharu iaitu Muhammad Zain.
Terbaharu, Firdaus tampil memuat naik gambar tangkap layar memaparkan perbualannya dengan pelajar terbabit sebagai bukti yang mana pemuda itu meluahkan hasrat untuk memeluk Islam serta meminta bimbingannya.
Pelajar terbabit juga memuat pengakuan kononnya tidak benar-benar mempercayai agama dianutinya sebelum ini sehinggalah bertemu ustazah yang memperkenalkannya kepada Islam ketika sekolah menengah.
“Ini adalah perbualan antara pelajar terbabit dengan saya menerusi WhatsApp. Dia mula menghantar mesej kepada saya pada 19 Jun 2024. Beliau juga sanggup datang dari Kuantan ke Bukit Bintang pada 15 September 2024 untuk berjumpa saya dan balik ke Kuantan pada hari yang sama.
“Dia begitu berminat mendalami Islam sehingga bertanya soalan tentang mazhab dalam Islam. Sahabat boleh baca beberapa tangkap layar pilihan yang saya kongsikan. Persoalan bagaimana dan bila dia memeluk Islam, akan saya kongsikan pada pukul 5.30 petang ini, Insya-Allah.
“Prinsip saya konsisten. Sama ada Muslim atau Belum Muslim, dia harus bertanggungjawab serta menerima hukuman di atas perbuatannya,” kata Firdaus dalam perkongsian itu yang menegaskan bahawa pendedahan dibuat bukanlah untuk mempertahankan pelaku.
Terdahulu, Firdaus mengakui terkejut sebaik mengetahui lelaki dikaitkan dengan isu memijak al-Quran merupakan individu sama yang pernah meminta bimbingannya untuk memeluk Islam suatu ketika dahulu.
Penceramah terbabit turut menyifatkan pelaku sebagai individu yang baik, sopan santun dan lembut pertuturan sehingga membuatkannya merasa hairan serta tertanya-tanya mengenai punca perubahan sikap pelajar itu.
Firdaus juga meluahkan kebimbangan sekiranya pelajar itu dihasut, diprovokasi atau ada perkara lain yang telah mendorongnya bertindak sedemikian selain berkongsi hasratnya untuk menghulurkan pertolongan.
Baca juga: Lapangan terbang tersibuk di Dubai kini ‘lumpuh’, nasib jemaah Malaysia jadi tanda tanya