Penyeludup dan ‘pemain’ beras bakal berdepan hukuman lebih keras, denda cecah RM1 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 diluluskan secara rasmi di Dewan Rakyat selepas melalui sesi perbahasan yang disertai 45 Ahli Parlimen.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, RUU berkenaan sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 7 Julai lalu.

Menurut kementerian itu, RUU yang mengandungi lima fasal utama berkenaan bertujuan memperkukuh ekosistem keterjaminan makanan negara, selain melindungi hak pesawah daripada sebarang bentuk manipulasi pasaran.

Antara intipati utama pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] ialah pengenaan hukuman lebih tegas dengan penalti am dinaikkan sehingga RM250,000 bagi individu dan sehingga RM1 juta bagi syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan berat.

“Kelulusan ini juga boleh menghentikan ketirisan susulan peningkatan denda yang setimpal, bertujuan membanteras isu penyeludupan dan manipulasi beras tempatan secara menyeluruh,” menurut KPKM dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, pindaan berkenaan dijangka memperkasa industri padi dan beras menerusi sokongan terhadap cadangan pendigitalan sistem kebolehkesanan atau traceability.

Antara langkah yang dicadangkan ialah penggunaan kod QR pada kampit beras bagi meningkatkan ketelusan dan membolehkan rantaian bekalan dijejaki secara masa nyata.

KPKM menegaskan, pindaan berkenaan diharap dapat menutup ruang kepada pihak yang cuba meraih keuntungan luar biasa sehingga menjejaskan bekalan makanan rakyat.

RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 seterusnya dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara pada 22 Julai ini.

Baca juga: Pelarian tak kebal undang-undang, pendaftaran teratur sedang dilaksana – PM Anwar