Pelakon dan model, Sharifah Haneesya rupanya sudah didaftarkan sebagai pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) sejak di bangku persekolahan lagi selepas didapati mengalami masalah berkaitan pembelajaran.
Perkara itu didedahkan oleh selebriti berusia 26 tahun terbabit menerusi hantaran dimuat naik di Instagram Story miliknya pada Khamis sambil turut berceritakan secara terperinci tentang latar belakang pendidikannya.
Berdasarkan hantaran tersebut, pemilik nama sebenar Haneesya Hanee Sayed Sahlan itu mengakui dikesan mengalami masalah pembelajaran dikenali sebagai Disleksia sejak dari bangku sekolah rendah lagi.
Ketika kejadian, Haneesya dibawa oleh ibunya untuk menjalani pemeriksaan di hospital sebelum dihantar ke sebuah Pusat Disleksia untuk mengikuti pembelajaran khusus secara berbayar di sekolah khas.
“Dari darjah dua atau tiga, ibu saya bawa pergi jumpa doktor sebab memiliki masalah dengan pembelajaran. Perkembangan saya agak perlahan. Jadi doktor sahkan saya mengalami Disleksia.
“Apabila ibu tak mampu hantar ke Pusat Disleksia, saya dimasukkan pula ke sekolah biasa yang ada pendidikan khas. Tetapi untuk beberapa subjek khusus saya perlu mengikuti kelas berbeza seorang diri.
“Perkara ini ditentukan mengikut subjek paling lemah. Seperti saya, subjek Matematik dan Bahasa yang sangat penting untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Untuk kelas ini, cikgu hanya mengajar saya seorang,” kongsinya.
Kekurangan tersebut tidak dijadikan Haneesya sebagai alasan sebaliknya pelakon terbabit tetap gigih dalam pembelajaran sehingga berjaya meraih keputusan 2A, 2B dan 2C dalam peperiksaan UPSR.
Keputusan berkenaan membuatkan pelakon drama bersiri popular iaitu Aku Bukan Ustazah itu bergelar salah seorang murid pendidikan khas yang paling cemerlang di sekolahnya ketika itu.
“Jadi daripada sekolahlah saya disuruh untuk membuat kad OKU sebab banyak manfaatnya. Alhamdulillah, hidup menjadi orang berguna juga.” Katanya dalam perkongsian tersebut.
Difahamkan, pendedahan itu dibuat kerana Haneesya merasa kesal apabila segelintir individu menggunakan status pemegang kad OKU sebagai alasan apabila didapati melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang.

Baca juga: Tingginya air! R&R Nilai dilanda banjir kilat sampai tempat makan pun naik air