Keadaan pelakon dan penerbit terkenal, Datuk A. Aida, sebelum ini pernah mengejutkan industri seni apabila dia terpaksa ditidurkan akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan lutut pada September tahun lalu.
Penerbit berusia 56 tahun itu berkongsi bahawa doktor memaklumkan ahli keluarganya bahawa harapannya untuk sembuh mungkin tiada lapor Kosmo! Online.
A. Aida mendedahkan antara sebab dia bertudung adalah sesudah dinasihatkan oleh Ustaz Izhar Ariff selepas tersedar daripada ditidurkan
“Ketika saya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor maklumkan kepada keluarga minta buat solat hajat dan bacaan yasin sebab katanya saya tiada peluang lagi.
“Kalau hidup pun, kemungkinan saya akan jadi seperti ‘sayur’ dan tak akan ingat apa-apa. Kemudian bila sedar, saya nampak Ustaz Izhar dan ayat pertamanya, minta saya pakai tudung.
“Hati saya terus dijentik dan saya putuskan untuk bertudung. Sepanjang sebulan proses pemulihan, kata-kata ustaz itu bermain dalam fikiran,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Dalam masa sama, pertanyaan anak keduanya, Azeva seminggu sebelum menyambut Ramadan menjadi asbab dia mula terfikir untuk menutup aurat.
“Hal lain yang membuatkan hati saya lebih kuat untuk berhijab adalah disebabkan permintaan anak kedua saya ‘mama tak nak pakai tudung ke?’ yang buat saya agak terkejut.
“Kata-katanya buat seminggu saya tak tidur malam. Ditambah pula, umur saya sekarang, memang patut sudah berhijab dan bukan keputusan mudah.
“Bermula awal Ramadan, saya cari semula tudung-tudung lama dan pakai sehingga sekarang. Anak-anak pun gembira dengan keputusan saya ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama A.Aida berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya malah bersyukur diberi peluang kedua untuk hidup.
“Alhamdulillah, antara sebab saya sembuh juga adalah kerana doa orang ramai.
“Syukur diberikan peluang kedua untuk meneruskan hidup. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa kalian,” ujarnya lagi
Baca juga: Daiyan Trisha pula kena tipu RM120 lepas beli slot Rembayung di Thread