“Saya kehilangan segalanya” – Nonny Nadirah terpaksa kumpul dana untuk teruskan kehidupan

Oleh MAISARAH AISYA

Pernah aktif dalam dunia seni sebagai penyanyi dan pelakon, kehidupan Nonny Nadirah didakwa berubah secara drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Perubahan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kerjayanya dalam industri hiburan, malah turut menjejaskan sumber pendapatan serta perjalanan hidupnya secara keseluruhan.

Kongsinya dalam video dimuat naik di TikTok, mendakwa kehidupannya berubah secara drastik selepas semua platform, perniagaan dan kerjayanya didakwa disekat.

Sejak 2023, Nonny berkongsi bahawa kehidupannya terjejas sehingga terpaksa memulakan semula kehidupan dengan jumlah wang yang sangat sedikit.

“Assalamualaikum, saya Nonny Nadirah dan saya berasal dari Malaysia. Saya kehilangan segalanya dan sukar untuk saya jelaskan.

“Pada tahun 2003, saya memulakan perniagaan dengan modal hanya RM200. Tidak lagi aktif sebagai penyanyi dan pelakon, saya hanya bekerja dari rumah,” kongsinya dalam video berkenaan.

Dakwanya lagi, sokongannya terhadap Palestin menyebabkan beberapa platform berkaitan dirinya disekat sehingga memberi kesan besar kepada kehidupan serta kerjayanya.

“Semua perkara dalam hidup saya, termasuk perniagaan, platform dan kerjaya seolah-olah hilang,” katanya.

Sehubungan itu, dia kini mengumpul dana sebagai salah satu cara untuk mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan kehidupan harian.

“Saya mengumpul dana ini kerana buat masa ini, ini adalah satu-satunya cara untuk saya memperoleh sesuatu supaya saya dapat meneruskan kehidupan harian saya.

“Bagi mereka yang sudi membantu dalam Malaysia atau luar Malaysia, semua pautan ada di bio. Semoga Allah merahmati anda semua,” tambahnya.

Baca juga: Syed Saddiq jawab dakwaan sibuk ‘berendut’ hingga lupa tugas, tunjuk bukti raih dana untuk Muar