Pernikahan dengan Marissa di Thailand sah, sijil sudah diperoleh – Peguam Aslam

Oleh MALAYSIADATELINE

Personaliti media sosial, Ahmad Aslam tampil bersama peguam syarie yang mewakilinya iaitu Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri untuk menjelaskan kekeliruan berhubung pernikahannya dengan Marissa Dania Hakim.

Menurut Aslam, penjelasan menerusi hantaran video di platform Threads itu perlu dibuat untuk mengelakkan salah faham berterusan di kalangan masyarakat hingga mencetuskan fitnah berhubung pernikahan dilakukan di Thailand tersebut.

Dalam video tersebut, Muhammad Ammar tampil menjelaskan beberapa kekeliruan berkaitan isu pendaftaran pernikahan mengikut undang-undang Malaysia serta dakwaan bahawa anak guamnya lewat melakukan urusan dokumentasi.

Muhammad Ammar menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa proses dokumentasi tersebut sengaja dilengah-lengahkan Aslam sebaliknya segala tindakan yang diambil oleh anak guamnya adalah mengikut prosedur ditetapkan.

“Saya telah diarahkan oleh anak guam untuk memberikan penjelasan tentang beberapa kekeliruan. Kekeliruan yang pertama adalah berkaitan dengan bila Encik Aslam daftar pernikahan. Adakah Encik Aslam ini daftar lambat?

“Kalau nak diikutkan, apa yang Encik Aslam buat inilah proses paling cepat yang kita dapat laksanakan. Kalau ikutkan Encik Aslam tak boleh nak failkan apa-apa kes selepas daripada ini, tetapi kita berjaya untuk failkan kes ini.

“Kekeliruan kedua, isu pernikahan yang telah berlaku di Thailand telah pun selesai. Kita telah menutup cerita di situ sebenarnya. Pernikahan ini adalah pernikahan yang sah mengikut hukum syarak,” jelas peguam terbabit dalam video berkenaan.

Menerusi video yang dipercayai dirakam dalam sebuah kenderaan itu, Aslam dilihat berada di tempat duduk sebelah peguamnya namun mengambil pendekatan mendiamkan diri sewaktu penjelasan tersebut dilakukan.

Mengulas lanjut, Muhammad Ammar dalam rakaman berdurasi satu minit 45 saat itu turut memaklumkan bahawa sijil pernikahan Aslam dan Marissa juga sudah berjaya diperoleh, sekali gus membenarkan proses seterusnya dijalankan.

Salinan sijil pernikahan Aslam atau nama sebenarnya, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid bersama Marissa yang dipaparkan dalam video penjelasan tersebut.

“Pernikahan mereka adalah sah mengikut hukum syarak. Sijil nikah mereka juga berjaya peroleh. Kalau tiada sijil nikah, mereka tidak dapat nak buat proses seterusnya.” Ujar peguam terbabit untuk menjelaskan kekeliruan yang hangat diperkatakan di media sosial.

Terdahulu, pasangan berkenaan hadir bersama ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam bagi sebutan pertama kes pengesahan lafaz cerai dan rujuk di hadapan Hakim Syarie Nadia Khamis.

Hal ini kerana Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap anak kepada bekas pasangan selebriti iaitu Norman Hakim dan Abby Abadi itu sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.

Walau bagaimanapun, pihak mahkamah masih belum dapat membuat keputusan muktamad berhubung kes tersebut dan memutuskan untuk menangguhkan prosiding kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pasangan terbabit sebelum ini pernah mencetuskan perbincangan hangat di platform media sosial apabila dilaporkan menikah di Songkhla, Thailand ketika isteri pertama Aslam iaitu pempengaruh, Umisya Mazlan sedang menunaikan umrah pada Disember 2023.

Pernikahan berkenaan juga dikatakan dilakukan tanpa pengetahuan mahupun mendapat kebenaran daripada keluarga Marissa terlebih dahulu termasuklah kedua ibu bapanya iaitu Norman dan Abby.

Baca juga: Pelanggan terkejut restoran di Genting Highlands caj RM902 untuk seekor ikan patin stim