Pelanggan terkejut restoran di Genting Highlands caj RM902 untuk seekor ikan patin stim

Oleh KIM SYAZIE

Susulan kekecohan dalam kalangan pelanggan selepas seekor ikan patin stim dikenakan caj sehingga RM902, sebuah restoran di Genting Highlands kini sedang disiasat pihak berkuasa.

Menurut New Straits Times, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Pahang telah menjalankan pemeriksaan di Restoran Loong Kee baru-baru ini.

Pemeriksaan tersebut mengesahkan bahawa harga ada dinyatakan dengan jelas pada menu, iaitu RM33.80 bagi setiap 100g.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan notis yang memerlukan pihak restoran mengemukakan maklumat terperinci mengenai kos dan penentuan harga dalam tempoh empat hari bekerja bagi menentukan sama ada wujud unsur pencatutan.

Terdahulu, sekumpulan 13 pelancong dikenakan caj sebanyak RM902 untuk hidangan tersebut pada 16 Mac lalu. 

Ikan seberat 2.7kg itu dijual pada harga RM338 sekilogram.

Pemilik restoran menegaskan bahawa ikan tersebut, iaitu patin sungai liar, adalah sukar didapati dan harganya ditentukan berdasarkan berat tanpa sebarang caj tersembunyi.

Seorang kakitangan juga menyatakan bahawa harga dan jenis ikan telah dijelaskan, malah cadangan untuk mengambil separuh bahagian juga telah diberikan berdasarkan saiz kumpulan tersebut.

Walau bagaimanapun, pemilik mengakui bahawa komunikasi mengenai harga keseluruhan adalah tidak mencukupi, yang menyumbang kepada ketidakpuasan hati pelanggan.

Sementara itu, KPDN menyatakan bahawa mengikut peraturan untuk membendung pencatutan melampau, peniaga mesti memastikan harga jualan tidak melebihi 100 peratus daripada kos barangan setelah mengambil kira perbelanjaan operasi.

Baca juga: “Tak salah kahwin dengan ‘bekas orang’’ – Fazley tampil ‘sekolahkan’ netizen