Ikhlas hulur duit raya pada PM Anwar, dua beradik ini dapat hadiah yang tak dijangka

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tersentuh dengan keikhlasan dua kanak-kanak yang menghulurkan duit raya kepadanya dalam satu pertemuan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dalam rangka kunjungannya ke Terengganu.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau memaklumkan tindakan Uwais Al Qorni dan kakaknya Aesha Khadeeja itu benar-benar menyentuh hatinya.

Menurutnya, susulan peristiwa tersebut, beliau telah mengarahkan pasukannya untuk turun menyantuni kedua-dua kanak-kanak berkenaan bersama keluarga mereka sebagai tanda penghargaan.

“Keikhlasan Uwais dan Aesha yang menghulurkan duit raya kepada saya benar-benar meruntun jiwa.

“Sumbangan kecil ini bukan sekadar hadiah, sebaliknya tanda kasih dan dorongan agar mereka terus tekun menuntut ilmu, membina masa depan yang lebih baik.

“Dan kelak menjadi kebanggaan keluarga serta negara,” kongsinya dalam hantaran di media sosial.

Sebagai balasan, kedua-dua kanak-kanak itu menerima sumbangan berupa wang tunai (duit raya) serta sebuah iPad, sebagai simbol penghargaan atas keikhlasan mereka.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata memuji sikap rendah diri dan keikhlasan kanak-kanak berkenaan.

“PMX (Anwar) dapat RM7 tapi PMX balas dengan tablet dan duit raya. Rezeki orang berbudi, belajar rajin-rajin anak-anak.

“Ikhlas ibu bapa mendidik dan mengajar anak menghormati pemimpin. Rezeki anak-anak ini dapat hadiah daripada PMX.

“Menghargai tanpa mengharapkan apa-apa sebenarnya tapi Allah balas dengan balasan yang tak terjangka,” antara komen netizen.

Baca juga: PM Anwar terharu terima duit raya dari ‘rakyat cilik’ di Terengganu, sudah bertahun tak dapat!