Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan membuka siasatan berhubung satu kes tular melibatkan caj RM30 yang dikenakan oleh sebuah kedai di Kota Bharu bagi membaiki kalkulator yang dimasuki air.
Menurut kenyataan rasmi, tindakan segera telah diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan mengeluarkan notis pengesahan maklumat kepada peniaga terlibat.
Melalui notis tersebut, peniaga dikehendaki mengemukakan butiran lengkap berkaitan kos dan harga perkhidmatan dalam tempoh empat hari bekerja bagi membantu siasatan lanjut.
KPDN Kelantan memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan rasmi daripada orang awam sebelum kes berkenaan tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perhatian ramai.
Dalam masa sama, pihak berkuasa menegaskan bahawa pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada unsur manipulasi harga atau pencatutan yang boleh menjejaskan pengguna.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna.
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut digalakkan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang salah laku peniaga agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.
Tular sebelum ini satu kedai membaiki telefon di Kelantan mengenakan caj RM30 selepas menukar bateri kalkulator menggunakan bateri yang sudah diguna pakai dalam alat kawalan jauh.
Bagaimanapun kedai berkenaan menjelaskan bahawa caj dikenakan bukanlah untuk harga bateri tetapi untuj servis lain.