Kaum Adam beri arahan, jururawat turun gaung sendiri nak bantu mangsa kemalangan 

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini tular satu rakaman dipercayai diambil di satu lokasi kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang disyaki telah hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung.

Namun perkara lebih mencuri perhatian ramai dalam rakaman berdurasi satu minit 34 saat tersebut adalah aksi berani seorang jururawat yang turun ke gaung itu untuk melihat keadaan mangsa.

Mana tidaknya, kejadian berlaku dalam keadaan hujan menyebabkan permukaan tanah menjadi licin namun jururawat terbabit tidak gentar untuk turun seorang diri ke dalam gaung tersebut.

Difahamkan sebelum kejadian, jururawat itu berada di dalam kereta yang dipandu oleh suaminya sebelum meminta lelaki terbabit berhenti untuk melihat situasi mangsa kemalangan.

“Kereta jatuh gaung, isteri aku suruh berhenti tengok. Dalam keadaan hujan itu, risau juga nak turun gaung itu. Isteri aku lebih berani turun,” kata suami jururawat itu menerusi ruangan kapsyen video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

@zulmizilinda

kereta jatuh gaung, isteri aku suruh benti tgk, dalam keadaan hujan risau jugak nk turun gaung tu. Bini aku lebih berani turun.

♬ bunyi asal – MIZI – MIZI

Menerusi video tersebut, kelihatan jururawat itu turun ke gaung secara berhati-hati sambil berpaut kepada ranting pokok supaya tidak tergelincir memandangkan keadaan tanah sangat licin.

Saksi lain yang juga berada di lokasi turut memberikan amaran kerana dipercayai terdapat longkang besar di bawah gaung berkenaan dan suami jururawat terbabit turut menghalangnya untuk terus turun.

Jururawat itu bagaimanapun tetap memberanikan dirinya untuk berusaha berkomunikasi dengan mangsa yang kemudian memaklumkan bahawa dirinya berada di dalam keadaan baik-baik sahaja.

Berdasarkan tinjuan di ruangan komen, perakam video memaklumkan bahawa kemalangan tersebut berlaku di kawasan Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran dengan Restoran Wak Radol.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya meraih sebanyak 2.2 juta tontonan yang mana rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum dengan keberanian dan sikap prihatin jururawat terbabit.

Namun ramai juga pengguna TikTok mempersoalkan peranan suami jururawat itu bersama saksi lelaki lain yang hanya memberikan arahan daripada atas gaung namun tidak berani ‘turun padang’.

“Tak payah rakamlah abang. Tak payah muat naik video. Menyakitkan hati sahajalah,” kata seorang pengguna yang meluahkan rasa kesal atas tindakan kaum Adam kerana seakan-akan tidak membantu dalam rakaman tersebut.

“Kakak itu ‘frontliner’, seorang jururawat. Jadi dia ada rasa tanggungjawab yang tinggi. Sebab itu sanggup redah untuk membantu. Orang macam ini yang kita patut sanjung menjulang. Semoga semangat yang ditunjukkan menjadi ikutan rakyat Malaysia. Tahniah.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Tuduh peserta Sumud dibayar RM40,000, aktivis “troll” balik dakwaan tak berasas