Lelaki 55 tahun buka zip buat aksi tak senonoh, kata mangsa ‘kurang ajar’ bila ditegur

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini tular rakaman memaparkan detik cemas dihadapi oleh seorang gadis apabila menjadi mangsa gangguan seksual lelaki berusia dalam satu kejadian di sebuah pasar raya terletak di Gerik, Perak semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 3.33 petang apabila mangsa yang merupakan pekerja di pasar raya itu terdengar bunyi zip terbuka sebelum ternampak pelaku seperti sedang memegang kemaluannya.

Mangsa yang berada di dalam keadaan panik itu terus mengeluarkan telefon bimbit miliknya untuk merakam kejadian sebagai bukti sambil meninggikan suara bagi memarahi pelaku atas perbuatan tidak senonohnya.

Walau bagaimanapun, pelaku tidak kelihatan takut malah sempat menyindir mangsa dengan mengatakan ‘garangnya’ sebelum menegur gadis terbabit ‘kurang ajar’ kerana bertindak meninggikan suara terhadapnya.

Rakaman asal kejadian yang mulanya dimuat naik di akaun TikTok milik mangsa itu sudah dipadam namun telah dikongsikan semula di pelbagai platform media sosial lain sekali gus mengundang kemarahan ramai.

Mangsa kemudian tampil mengeluarkan kenyataan lanjut menerusi perkongsian video di akaun sama memaklumkan bahawa kejadian sudah dilaporkan dan sedang berada dalam siasatan pihak polis.

“Pelaku sudah ditangkap dan semuanya kini berada di bawah siasatan polis. Jadi saya tak boleh maklumkan dengan lebih lanjut kerana nanti pihak polis yang akan beritahu perkembangan mengenai pelaku.

“Saya ingin memohon maaf kepada pihak yang tidak senang dengan kata-kata keterlaluan terhadap pelaku. Waktu itu saya tak boleh mengawal emosi. Semua ada, takut dan fikir apa akan jadi serta perlu melindungi diri dan rakan sekerja.

“Rakaman itu tiada langsung unsur ‘content’. Kejadian berlaku tiba-tiba dan cepat. Dekat tempat kerja itu ada kakitangan lelaki tetapi kejadian berlaku terlalu cepat. Saya tak sempat nak panggil sesiapa. Jadi saya terus bertindak,” katanya.

Mengulas lanjut, mangsa turut menjelaskan bahawa tujuannya memuat naik video kejadian adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk penduduk Gerik agar lebih berhati-hati sekiranya terjumpa pelaku.

Pihak polis juga mengesahkan penangkapan suspek berusia 55 tahun yang akan dikenakan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan.

Baca juga: Niat nak kumpul duit untuk ibu umrah, abang mekanik terima rezeki mengejutkan!