Pelakon positif dadah siap merayu nak habiskan penggambaran, Yusof Haslam tetap gugurkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Tiada ruang untuk kompromi. Itu pendirian tegas penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, apabila bertindak menggugurkan serta-merta seorang pelakon drama kepolisan Gerak Khas Undercover 2.0 yang disyaki positif dadah.

Menurutnya, pelakon berkenaan telah digugurkan serta-merta daripada produksi walaupun penggambaran hanya berbaki dua episod sebelum tamat lapor Kosmo! Online.

Katanya, keputusan itu dibuat demi menjaga integriti produksi dan imej drama kepolisan yang diterbitkan Skop Productions.

“Penggambaran tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi, namun kami tetap membuat keputusan untuk menggugurkan dia.

“Jika drama ini diteruskan ke musim seterusnya, namanya juga tidak akan dipertimbangkan. Kalau kami tahu perkara ini lebih awal, memang dia tidak akan diambil sejak awal,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online..

Yusof menjelaskan sejak permulaan penggambaran, beliau sentiasa mengingatkan semua pelakon dan kru supaya menjauhi dadah serta sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan nama baik produksi.

Bagaimanapun, katanya, pihak produksi tidak mampu mengawal kehidupan peribadi setiap individu di luar waktu bekerja.

Beliau turut mendedahkan pelakon terbabit sempat merayu agar dibenarkan menamatkan baki penggambaran, namun permintaan itu ditolak.

“Saya beritahu dia, sudah cukup. Saya terpaksa gugurkan dia dan selepas ini memang tiada lagi peluang untuk menyertai mana-mana produksi Skop, lebih-lebih lagi drama kepolisan,” katanya.

Menurut Yusof, pelakon berkenaan sebelum ini tidak pernah menimbulkan masalah disiplin sepanjang beberapa tahun bekerjasama, namun insiden tersebut disifatkannya sebagai sesuatu yang amat mengecewakan.

Katanya, tindakan individu itu bukan sahaja menjejaskan masa depan kerjayanya sendiri, malah memberi kesan kepada keseluruhan produksi yang sedang dibangunkan.

Dalam masa sama, beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua penggiat industri hiburan supaya sentiasa menjaga disiplin serta integriti.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan ditahan bersama 17 individu lain dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara selepas disyaki positif methamphetamine.

Baca juga: PM Anwar terima kunjungan Dr Ali Rashid Al Nuaimi, teroka kerjasama Malaysia-UAE