Isteri kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Nur Shahida memohon doa orang ramai agar keadaan kesihatan anak perempuannya kembali pulih seperti sedia kala.
Menurut Datin Shahida, anak keduanya bersama Aliff iaitu Qadejah El Zahra dikejarkan ke hospital malam semalam selepas mengadu sakit dada dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
Selepas menjalani pemeriksaan melalui ujian darah sebanyak tiga kali, pihak doktor mendapati bahawa kadar platelet Qadejah rendah sekali gus mengundang kerisauan berhubung keadaan kesihatannya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datin Shahida menerusi hantaran video berdurasi satu minit sembilan saat yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya memaparkan situasi ketika Qadejah dimasukkan ke dalam wad.
“Mama kalau anak sakit ini, tiada tangguh-tangguh. Hati jadi risau, fikir bukan-bukan. Sampai sahaja hospital, doktor periksa darah. Platelet darah dia rendah sangat. Ada kemungkinan (penyakit)
“Sudah tiga kali ambil darah, tetapi kadar platelet masih rendah. Risau mama dibuatnya. Minta doa semua ya agar Qadejah cepat sembuh dan dijauhkan dari penyakit yang tak sepatutnya.
“Sekarang ini nak buat apa pun tak jadi. Hati mak ini, kalau anak sakit lain rasanya,” katanya dalam ruangan kapsyen video yang kini sudah meraih sebanyak 390,200 tonton daripada pengguna TikTok itu.
Menerusi rakaman itu, Qadejah tampil memaklumkan perkembangan susulan menjalani pemeriksaan yang mana doktor membangkitkan beberapa kemungkinan berhubung penyakit yang mungkin dialaminya.
Ini termasuklah kemungkinan ‘menakutkan’ seperti penyakit autoimun yang berkaitan dengan gangguan sistem imunasasi badan seperti lupus ataupun hanya sekadar jangkitan badan biasa.
“Saya didapati memiliki sel darah merah yang rendah. Kadar platelet juga berada dalam tahap yang sangat-sangat rendah sehingga doktor memutuskan untuk masukkan saya ke dalam wad. Tetapi tidak mengapa.
“Kita kekal positif. Sebab semua penyakit ada ubatnya. Saya mungkin ada Lupus iaitu penyakit autoimun atau sekadar jangkitan biasa sahaja. Saya harap keputusan hanya risiko rendah sahaja.” Ujar Qadejah.
Baca juga: Isteri Ako Mustapha dakwa ibu bapa pembuli sombong, siap ‘demand’ tak nak anak sekelas