Baru-baru ini tular satu gambar memaparkan tangkap layar pesanan mesej dari penghantar makanan kepada pelanggannya melalui aplikasi pesanan secara atas talian.
Gambar yang dimuat naik menerusi perkongsian di platform Threads itu berjaya mencuit hati ramai pengguna media sosial kerana memperlihatkan interaksi lucu antara penghantar makanan dan pelanggannya.
Berdasarkan perkongsian itu, dapat dilihat pengantar tidak menyerahkan terus makanan tersebut kepada pelanggan sebaliknya hanya meninggalkannya dipercayai di kawasan kaunter.
Tindakan diambil mungkin di atas permintaan pelanggan namun yang lebih mencuri perhatian ramai adalah pesanan yang ditinggalkan oleh penghantar makanan tersebut.
Mana tidaknya, penghantar itu secara berseloroh memberitahu pelanggan bahawa makanannya akan dijaga oleh PMX atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat sementara waktu.
“Saya letak dekat sini ya. PMX tolong tengokkan nanti,” kata penghantar makanan itu dengan turut menyertakan gambar bungkusan makanan yang diletakkan di atas kaunter.
Namun yang membuatkan situasi menjadi lucu adalah penjaga makanan itu bukanlah Anwar Ibrahim ‘sebenar’ sebaliknya hanya gambar Perdana Menteri digantungkan di dinding lobi.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang dimuat naik oleh wanita dikenali sebagai Nabilah Razak itu sudah berjaya meraih 27,100 tanda suka dan 2,100 kongsian semula di platform Threads.
“Pagi tadi dapat hiburan sekejap. Saya mudah terhibur, benda macam ini pun saya ketawa.” Katanya dalam perkongsian yang dibanjiri dengan komen menggelikan hati itu.

Baca juga: Ambil kira beban ibu bapa, JAIS jelaskan sebab tiada sambutan Hari Guru di sekolah tahun ini