“Masa tu rasa nak nangis” – Khairul Aming dedah Siti Nurhaliza pernah bantu tanpa minta bayaran

Oleh MAISARAH AISYA

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming meluahkan rasa terharu selepas menerima ucapan istimewa daripada biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila mengimbau kembali permulaan perjalanan kerjayanya tujuh tahun lalu.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Khairul Aming atau mesra disapa KA berkongsi dia pernah menghantar mesej kepada Siti Nurhaliza ketika tempoh lockdown bagi mengajak penyanyi itu bekerjasama dalam video masakan.

Menurutnya, ketika itu dia masih menghasilkan kandungan secara bersendirian di rumah dengan hanya menggunakan rakaman suara telefon bimbit.

“Tujuh tahun lepas KA pernah DM Datuk Siti semasa lockdown nak ajak collab video masak guna recording suara kat phone.

“Ni zaman KA buat video masak sorang-sorang atas lantai. Kita nak tulis DM pun menggigil tangan sebab segan,” katanya.

Khairul Aming berkata dia tidak menyangka Siti Nurhaliza membalas mesej tersebut keesokan harinya dan bersetuju membantu tanpa meminta sebarang bayaran.

“Keesokkannya TokTi (Siti Nurhaliza) reply and setuju nak tolong tanpa minta apa-apa. Masa tu rasa nak nangis sebab ikon negara sudi nak support kita yang baru nak bermula kat rumah,” ujarnya.

Lebih menyentuh hati, tujuh tahun kemudian dia menerima sendiri ucapan penghargaan bertulis daripada Siti Nurhaliza yang diberikan secara peribadi.

Dalam gambar dikongsikan, penyanyi itu menitipkan kata-kata semangat berbunyi: “Teruslah menjadi inspirasi seluruh rakyat Malaysia.”

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai netizen yang rata-rata tersentuh melihat perjalanan Khairul Aming serta sikap rendah diri dan sokongan yang ditunjukkan Siti Nurhaliza terhadap bakat tempatan.

Baca juga: Geli hati baca mesej dari ‘rider’ ini, minta PMX tolong jagakan makanan pelanggan