Tindakan seorang penghantar makanan membantu pelanggan membuang sampah demi tip RM5 mencuri perhatian ramai selepas kisah tersebut tular di Threads.
Menerusi perkongsian dimuat naik pengguna dikenali sebagai @kalll.mf, pelanggan terbabit pada awalnya meminta pertolongan tambahan selepas pesanan dihantar ke rumahnya.
“Bang, saya boleh minta tolong tak?” tulis pelanggan tersebut menerusi ruangan chat aplikasi penghantaran makanan.
Selepas ditanya bentuk bantuan diperlukan, pelanggan berkenaan meminta penghantar makanan itu membuang sampah di depan rumahnya dan sebagai balasan dia menawarkan tip sebanyak RM5.
“Nanti saya letak sampah depan rumah, nanti abang tolong buang kan. Saya bagi tips RM5,” tulis pelanggan itu lagi.
Penghantar makanan tersebut dilihat bersetuju membantu sebelum berkongsi gambar dua plastik sampah yang dibuang ke tong sampah.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata terhibur selain berkongsi pengalaman menerima permintaan pelik daripada pelanggan ketika bekerja sebagai rider penghantaran makanan.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai @kemvl_ berkata dia pernah menerima pesanan teh ais semata-mata kerana pelanggan mahu meminta bantuan mengangkat baju di ampaian sebelum hujan turun.
“Saya pernah dapat customer order teh o ais dekat GrabFood semata nak mintak saya tolong kutipkan baju kat ampai sebab nak hujan and customer tu tengah kerja,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai @fariszulkhairi turut berkongsi pengalaman menjadi ‘spy’ selepas diminta mengambil gambar kereta milik suami pelanggan yang didakwa berada di rumah wanita lain.
“Sekali ada weyyy, aku pun jadi James Bond lah ambik gambar dengan video, dua tiga kali lalu rumah tu,” tulisnya berseloroh.
Baca juga: KL bandar ketujuh terbaik dunia untuk ‘port’ makan, kopitiam dan mamak antara disebut dalam kajian