Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara pada 16 Mei 2018 selepas memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.
Pengalaman menjalani kehidupan di sebalik tirai besi selama lebih sedekad itu pernah didedahkan oleh Anwar pada tahun lalu dalam program Forum Ilmu PNB 2025 di ibu negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mengakui bahawa pangalaman tersebut menjadi titik perubahan terbesar dalam kehidupannya sehinggakan tidak mahu mangsa lain ditimpa ujian sepertinya.
Mana tidaknya, beliau dapat melihat sisi gelap sistem keadilan apabila undang-undang dijadikan alat politik dan manusia kehilangan maruah kerana perbezaan kasta sosial.
Antara pengalaman yang cukup memberi kesan kepadanya adalah penahanan seorang anak muda dalam tempoh berbulan-bulan hanya kerana kesalahannya mencuri seluar jeans.
Lebih menyayatkan hati, kanak-kanak yang ditemuinya dalam keadaan mata lebam itu dikatakan membesar dalam kemiskinan sehinggakan tiada peguam mewakilinya.
Beliau melihat perkara itu sebagai ketidakadilan kerana golongan elit politik yang mencuri berbilion ringgit malah masih berpeluang naik pangkat seperti daripada Datuk Seri jadi Tan Sri dan sebagainya.
Perkara itu didedahkan sendiri Ahli Parlimen Tambin itu dalam sesi perkongsian In Conversation with Anwar Ibrahim bersempena dengan program Forum Ilmu PNB 2025 tersebut.
Selain daripada erti kebebasan, Anwar yang juga Presiden PKR itu mula belajar makna sebenar empati dan belas kasihan di dalam mencapai kebebasan dan keadilan selama berada di penjara.
“Saya benar-benar memahami erti empati. Mengapa sangat penting untuk bebas, untuk adil, untuk berbelas kasihan, untuk berlaku adil, semuanya hanya boleh difahami melalui pengalaman.
“Allah menguji saya. Ujian dan dugaan ini tidak mudah. Berat untuk saya, Azizah, anak-anak dan sahabat-sahabat. Tetapi sekarang saya berada di sini sebagai Perdana Menteri. Apa yang saya pelajari? Saya belajar banyak perkara.
“Apa yang saya mahu lakukan? Saya mahu melakukan yang terbaik dengan ujian ini. Tiada siapa lagi patut diperlakukan seperti saya diperlakukan. Semoga Allah membantu kita semua,” katanya dalam perkongsian itu.
Baca juga: Kecoh isu MyKad baharu boleh ganggu bantuan SARA dan BUDI95, ini penjelasan rasmi JPN