Anwar umum peruntukan RM5 juta untuk perkasa pembangunan belia, salur melalui MBM

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk memperkasakan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam memacu pembangunan golongan belia di Malaysia.

Penambahan peruntukan sebanyak RMI juta berbanding tahun lepas itu diberi dengan mengambil kira cabaran semasa yang dihadapi oleh golongan muda termasuk daripada segi ekonomi, peluang pekerjaan dan kos sara hidup.

Anwar yang juga Menteri Kewangamenyifatkan peruntukan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap peranan MBM sebagai penggerak utama persatuan di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), lapor TVS.

Usaha ini juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pelbagai program pembangunan khususnya untuk kepentingan golongan muda di negara ini.

“Majlis Belia Malaysia mempunyai peranan yang selaras dengan kegiatan belia iaitu menggerakkan persatuan-persatuan belia di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya setuju tambah jadi RM5 juta,” katanya dalam satu pengumuman ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di Sendayan, Negeri Sembilan hari ini.

Turut hadir dalam sambutan tersebut adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid serta pimpinan belia dari seluruh negara.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menegaskan perjuangan belia perlu berasaskan keyakinan, idealisme dan prinsip yang kukuh bagi memastikan generasi muda tidak hanyut dengan penyalahgunaan kuasa serta kepentingan peribadi.

Jelasnya, kerajaan kini memberi fokus kepada usaha membantu rakyat termasuk memperluas akses pinjaman kepada usahawan kecil dan golongan muda menerusi pelbagai agensi.

Agensi yang terlibat termasuklah Bank Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti kedudukan ekonomi gig termasuk pekerja e-hailing susulan peningkatan jumlah anak muda yang terlibat dalam sektor berkenaan.

Presiden Pakatan Harapan (PH) itu juga mengumumkan Peruntukan Pembangunan Syiar Islam dengan implikasi kewangan berjumlah RM42.3 juta yang akan memberi manfaat kepada guru-guru KAFA, imam masjid kariah, guru takmir serta petugas masjid.

Bantuan itu turut merangkumi institusi pendidikan Islam seperti pondok, maahad tahfiz, sekolah agama serta premis KAFA yang beroperasi di luar seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan pengukuhan institusi.

Baca juga: Lahhh bukan M Nasir ke yang aktif balas komen netizen dekat Threads?