Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan Pembangunan Syiar Islam sebanyak RM42.3 juta bagi memperkukuhkan institusi keagamaan serta kebajikan petugas agama di Negeri Sembilan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memaklumkan seramai 7,091 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), imam masjid kariah, guru takmir dan petugas masjid akan manfaat daripada peruntukan ini.
Peruntukan ini juga merangkumi sokongan untuk tujuan penyelenggaraan institusi pendidikan Islam seperti pondok, maahad tahfiz, sekolah agama dan premis KAFA dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM5.4 juta.
Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan RM800,000 bagi membaik pulih infrastruktur tiga institusi tahfiz dan pondok di Negeri Sembilan yang akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU).
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa Kerajaan Madani akan terus memartabatkan syiar Islam serta memperkukuh institusi pendidikan Islam di seluruh negara.
“Ini adalah antara agenda penting dalam membina masyarakat MADANI yang berteraskan ilmu, akhlak dan ihsan. Usaha ini penting bagi memastikan syiar Islam terus subur dan diperkasa, selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif buat para pelajar serta tenaga pengajar.
“Insy-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh agenda pembangunan ummah demi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan sejahtera berlandaskan nilai-nilai Islam yang syumul,” katanya dalam perkongsian itu.
Sekadar info, peruntukan tersebut diumumkan oleh Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 yang diadakan di Sendayan, Negeri Sembilan, hari ini.
Baca juga: Anwar umum peruntukan RM5 juta untuk perkasa pembangunan belia, salur melalui MBM