Ramai sebenarnya tidak sedar kad pengenalan atau MyKad yang sudah lama digunakan atau mengalami kerosakan kecil boleh menyebabkan pelbagai urusan harian tergendala.
Menerusi perkongsian dimuat naik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, orang ramai diingatkan supaya segera menukar MyKad sekiranya kad pengenalan mereka menunjukkan tanda-tanda kerosakan atau masalah pada cip.
Menurut JPN, antara petanda utama MyKad perlu diganti ialah apabila kad gagal dibaca di mesin atau kiosk layan diri.
Selain itu, pengguna juga dinasihatkan menukar MyKad sekiranya urusan di bank atau agensi kerajaan ditolak kerana sistem tidak dapat mengesan data kad berkenaan.
MyKad yang perlu dicuba berkali-kali sebelum berjaya dikesan juga dianggap berisiko mengalami masalah cip dan tidak wajar terus digunakan.
Dalam masa sama, kerosakan fizikal seperti calar, retak atau bengkok pada kad turut boleh menjejaskan fungsi cip MyKad.
JPN turut menjelaskan bahawa MyKad yang terlalu lama digunakan berisiko mengalami cip haus atau terpadam sehingga boleh menimbulkan masalah ketika digunakan untuk urusan rasmi.
“MyKad yang rosak, tidak dapat dibaca atau bermasalah boleh menjejaskan urusan harian termasuk urusan perbankan, pengesahan identiti, klinik kerajaan, pendaftaran sekolah dan bantuan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Fungsi cip MyKad digunakan secara meluas dalam pelbagai sistem penting termasuk urusan bank, hospital atau klinik kerajaan, pendaftaran sekolah serta pengeluaran bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Sehubungan itu, orang ramai disaran memastikan MyKad sentiasa berada dalam keadaan baik bagi melancarkan segala urusan rasmi dan perkhidmatan harian.
Baca juga: Warganet pulangkan paku buah keras kepada netizen, kongsi deretan teguran Istana kepada pemimpin PN