Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil mempertahan usaha agensi itu dalam mengangkat pelajar tahfiz sebagai golongan profesional.
Ini adalah susulan kecaman dan sindiran netizen terhadap cadangan menaja bakal juruterbang daripada aliran Tahfiz STEM.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau meluahkan rasa kecewa terhadap komen negatif yang memperlekeh kemampuan pelajar tahfiz untuk berjaya dalam bidang profesional termasuk penerbangan.
“Apa mereka ingat pelajar-pelajar Tahfiz ini cikai-cikai ke?” katanya.
Menurut beliau, pencapaian pelajar MRSM Ulul Albab dalam keputusan SPM 2025 membuktikan golongan huffaz bukan sahaja cemerlang dalam hafazan al-Quran, malah turut menyerlah dalam bidang akademik dan sains.
Katanya, lapan MRSM Ulul Albab yang menempatkan pelajar menghafaz 30 juzuk al-Quran berjaya berada dalam kelompok 20 sekolah terbaik Malaysia bagi keputusan SPM 2025.
Malah, seramai 221 pelajar Huffaz MRSM turut memperoleh keputusan semua A termasuk dalam subjek kritikal seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
Asyraf Wajdi berkata, kejayaan itu menjadi bukti bahawa pelajar tahfiz juga mampu bersaing dan cemerlang dalam bidang profesional berasaskan STEM.
“Cakaplah apa sahaja, selagi saya sebagai Pengerusi MARA, usaha memartabatkan agenda memprofesionalkan golongan huffaz akan terus diperkasakan,” katanya lagi.
Terdahulu, laporan media mengenai usaha MARA menaja bakal juruterbang dengan memberi keutamaan kepada pelajar Tahfiz STEM.
Laporan berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk kritikan dan persoalan mengenai keupayaan pelajar aliran tersebut dalam bidang penerbangan.
Baca juga: PM Anwar umum kenaikan peruntukan RM4 bilion, puji prestasi kontraktor bumiputera