“Makcik siap transfer duit, tak bagi suami tengok telefon” – Ramai risau takut ‘love scam’

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu perkongsian di media sosialmencetuskan kebimbangan ramai selepas seorang pengguna mendakwa terlihat perbualan dipercayai berunsur ‘love scam’ melibatkan seorang wanita warga emas ketika berada di dalam bas.

Menerusi hantaran dimuat naik pengguna dikenali sebagai Nana Deen, dia meluahkan rasa simpati terhadap suami wanita tersebut yang berada di sebelah ketika perbualan itu berlaku.

“Makcikkkk kenapa makcik… kesianlah laki makcik kat sebelah tu. Makcik dah macam pangkat mak saya dah,” tulisnya.

Menurut Nana, pada awalnya dia cuba berfikiran positif dan menganggap individu yang dihubungi mungkin anak atau kenalan biasa, namun mula curiga selepas melihat penggunaan emoji serta gaya perbualan yang dianggap terlalu mesra.

“Saya cuba untuk positif maybe anak ke apa ke, tapi mustahil sampai pakai emoji, siap ber ‘I u’ bagai,” katanya.

Tambahnya lagi, wanita berkenaan juga didakwa beberapa kali mengelak apabila suaminya cuba melihat telefon bimbit yang sedang digunakan.

“Pakcik nak tengok handphone makcik ni pun, makcik ni mengelak cepat-cepat tutup,” katanya lagi.

Situasi itu menjadi lebih membimbangkan apabila Nana mendakwa terlihat beberapa transaksi dilakukan wanita terbabit selain mesej dipercayai melibatkan pemindahan wang.

Menerusi satu lagi perkongsian, dia turut berkongsi semula sebahagian perbualan yang didakwa berlaku antara wanita tersebut dengan individu disyaki scammer.

“Kongsi rezeki,” tulis wanita itu bersama lampiran dipercayai resit transaksi bank sebelum menerima balasan “Tq (terima kasih) sayang”.

Menurut Nana, tidak lama selepas itu semua mesej dipercayai dipadam daripada perbualan berkenaan.

Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes ‘love scam’ melibatkan golongan warga emas terutama wanita kesunyian.

“Takut kena love scam je, licin KWSP makcik,” komen seorang pengguna media sosial.

Turut mencuri perhatian apabila seorang netizen berkongsi pengalaman jirannya yang merupakan pesara cikgu dipercayai turut berdepan situasi hampir sama selepas berkenalan dengan individu mendakwa berasal dari Dubai.

“Aku dah cuba nasihat dia tapi dia cakap tu kawan dia. Dalam chat memang bertubi-tubi lelaki tu tanya dah download apps ke belum,” tulis pengguna tersebut.

Susulan itu, ramai netizen mengingatkan anak-anak supaya lebih peka dan memantau ibu bapa terutama yang tinggal bersendirian di kampung kerana bimbang menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian.

Baca juga: Cuti sekolah punya pasal, Gunung Datuk sesak orang ramai ‘hiking’