Kenapa kunjungan PM Anwar ke Jepun dianggap berjaya? Ini fakta yang ramai terlepas pandang

Oleh MALAYSIADATELINE

Kunjungan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun terbukti berjaya memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka laluan kerjasama strategik baharu serta menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Pencapaian ini bukan sahaja membawa perkembangan ekonomi serta daya tahan negara dalam mendepani krisis global malah dijangka dapat memberi manfaat buat kesejahteraan rakyat Malaysia.

Berikut kami senaraikan pencapaian utama diperoleh hasil daripada kunjungan rasmi Anwar yang juga Menteri Kewangan itu ke Negara Matahari Terbit tersebut;

1. Kerjasama Dua Hala dan Pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC)

Empat Memorandum Kerjasama (MoC) antara Malaysia dan Jepun telah dimeterai merangkumi pelbagai bidang termasuklah keselamatan maritim, alam sekitar dan kelestarian, pengurusan sisa pepejal dan peraturan peranti perubatan.

Kedua-dua negara turut bertukar dua Surat Hasrat (LOI) membabitkan kerjasama keselamatan dan peralihan tenaga serta pertukaran akademik antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Perjanjian ini dimuktamadkan dalam sidang kemuncak dua hala antara Anwar dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di Tokyo selepas sesi sambutan rasmi lawatan beliau di pejabat rakan sejawatnya itu.

2. Perjanjian Pembekalan Tenaga Jangka Panjang

Malaysia menerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan membekalkan dua juta tan gas asli cecair (LNG) setahun kepada syarikat utiliti Jepun (JERA), di bawah perjanjian jangka panjang selama 20 tahun.

Perjanjian pembekalan yang dijangkakan bermula pada 2028 itu mencerminkan keyakinan Jepun terhadap Malaysia sebagai pembekal tenaga yang stabil sekali gus mengukuhkan kerjasama strategik kedua-dua negara dalam sektor tenaga.

3. Meneroka Potensi Pelaburan dan Kerjasama Ekonomi baharu

Pertemuan Anwar dengan enam syarikat utama Jepun dan antarabangsa dapat membuka potensi kerjasama dan pelaburan baharu dalam sektor tenaga, industri halal, AI, pusat data, teknologi digital dan industri masa hadapan.

Difahamkan, syarikat utama yang terlibat dalam pertemuan tersebut adalah IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.

Beliau juga menyertai sesi meja bulat dengan 29 tokoh perniagaan terkemuka dari Jepun di Tokyo demi menarik pelaburan strategik ke Malaysia dalam bidang semikonduktor, Kecerdasan Buatan (AI), dan teknologi kuantum.

4. Memperkukuh Imej Negara sebagai Rakan Dagang Progresif

Anwar diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucaptama di Persidangan Antabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia serta syarahan khas di Universiti Tokyo untuk menyampaikan pandangan negara mengenai isu serantau dan global.

Penyampaian tersebut bukan sahaja dijangka dapat memperkukuh imej Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan berdaya tahan malah turut komited terhadap kerjasama di peringkat serantau dan antabangsa.

Secara tuntasnya, lawatan ini membuktikan Malaysia kekal kompetitif selain turut mempereratkan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan Jepun menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Sekadar info, Anwar kini difahamkan sudah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo, Haneda untuk pulang ke Malaysia seperti dimaklumkan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata menerusi hantaran di platform X.

Baca juga: TAGS beri harapan baharu kepada mangsa gangguan seksual, aduan kini lebih mudah dan cepat