Kronologi ringkas krisis takhta di Negeri Sembilan: Apa yang berlaku sebenarnya?

Oleh MALAYSIADATELINE

Konflik tercetus susulan pertembungan kuasa antara struktur perlembagaan Negeri Sembilan melibatkan institusi Undang dengan pentadbiran kerajaan negeri telah mengakibatkan ketidaktentuan landskap politik di wilayah itu.

Pertikaian ini memuncak dengan pengisytiharan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir oleh Undang Yang Empat dan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin untuk menggantikannya.

Situasi tersebut bukan sahaja mengakibatkan ketegangan politik malah turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya mereka yang bukan berasal daripada Negeri Sembilan.

Berikut kami kongsikan kronologi ringkas pertikaian takhta yang telah melanda wilayah Adat Perpatih tersebut sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

17 April 2026 – Pemberhentian Undang Luak Sungai Ujong

Datuk Mubarak Dohak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Pelucutan jawatan dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas meraih persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.

Difahamkan, penerimaan pemberhentian Mubarak itu dilakukan dalam satu sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah selepas 33 sebab (alasan pelanggaran adat) dibentangkan.

Kenyataan itu menyusul selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta semua anggota DKU menerima pemberhentian Mubarak pada 17 April lalu.

19 April 2026 – Umum pemecatan Tuanku Mukhriz

Undang Yang Empat mengisyhtiharkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilucutkan jawatan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berkuatkuasa serta merta.

Isu besar pula timbul susulan pelucutan jawatan diumumkan memandangkan pengisytiharan tersebut dibacakan oleh Mubarak sedangkan beliau ketika itu sudah dipecat sebagai Undang.

20 April 2026 – Pengisytiharan Undang tidak diterima

Pemberhentian Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong diterima secara rasmi oleh Tuanku Mukhriz dan pihak DKU yang mana keputusan dibuat dalam sidang khas pada jam 10 pagi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan memecat Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf kerana individu yang membuat pengisytiharan tidak lagi memiliki kuasa sah sebagai Undang.

21 April 2026 – Aminuddin digesa letak jawatan

Tiga ahli Dewan DKU yang mendakwa hadir dalam Mesyuarat Khas 17 April lalu mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan Aminuddin mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pemecatan Mubarak.

Sehubungan dengan itu, Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin dalam sepucuk surat menggesa agar Aminuddin dipecat daripada jawatannya sebagai Menteri Besar.

23 April 2026 – Pembukaan Persidangan DUN

Tuanku Muhriz merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15.

Baginda mengingatkan bahawa pemegang jawatan dan kedudukan tinggi perlu memastikan setiap tindakan, keputusan dibuat berasaskan penelitian menyeluruh terhadap segala fakta serta maklumat berkaitan.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman kemudian mengumumkan persidangan ditangguhkan hingga ke tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas perasmian dilakukan.

26 April 2026 – Jawatankuasa khas pendamai

Gesaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas pendamai dengan harapan dapat menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan yang ketika itu sedang berlaku.

Menurut Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, jawatankuasa itu perlu dianggotai individu yang memiliki kepakaran dalam bidang adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

27 April 2026 – ADUN BN umum tarik sokongan

Semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Jalaluddin yang juga Pengerusi BN negeri itu berkata, pemakluman rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri selepas selesai sidang media susulan pengumuman dibuat.

Lima ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan 14 ADUN BN menjamin kestabilan kerajaan negeri serta kelangsungan pentadbiran.

30 April 2026 – Surat Pengosongan Balai Undang

Arahan pengosongan Balai Undang Sungei Ujong dikeluarkan melalui Surat bertarikh 29 April oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan ditujukan kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.

4 Mei 2026 – Pembangkang ambil langkah berkecuali

ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad merangkap Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu bersama Adun Labu Hanifah Abu Baker yang juga ketua pembangkang mengumumkan langkah berkecuali.

Perkara ini bermaksud pihaknya tidak menyokong perubahan pentadbiran dalam kerajaan negeri, susulan tindakan 14 ADUN Umno yang telah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

5 Mei 2026 – Pemfailan saman pemula

Datuk Mubarak Thahak mengambil tindakan memfailkan saman pemula bersama lima yang lain untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat Sidang Khas DKU Negeri Sembilan diadakan pada 17 April lalu.

Mereka memohon perintah agar minit hasil mesyuarat yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan itu diserahkan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh keputusan mahkamah.

6 Mei 2026 – Tiada perubahan status pentadbiran

Aminuddin Harun mengesahkan kerajaan negeri kekal berfungsi seperti biasa dan tidak timbul isu perubahan status pentadbiran kerana tiada kerajaan minoriti susulan keputusan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

4 Jun 2026 – Pembubaran DUN

Pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menurut Aminuddin Harun, pembubaran DUN itu dibuat mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 selepas beliau memperoleh perkenan baginda.

5 Jun 2026 – Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin

Kemelut berlanjutan apabila sebahagian pembesar adat (DKU) cuba melucutkan takhta Tuanku Muhriz bersandarkan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Undang Yang Empat juga mendakwa telah memasyhurkan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.

Baca juga: ‘Bukan hina warung kampung!’ – Imran Bard ‘sound’ tajuk media mengelirukan