“PAS nak ‘cerai’ dengan Bersatu?” – Hadi Awang beri bayangan keputusan besar Isnin ini

Oleh MALAYSIADATELINE

PAS dijangka membuat keputusan muktamad berhubung status kerjasamanya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang akan berlangsung Isnin ini.

Menurut laporan Buletin TV3, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perkara tersebut telah dibincangkan oleh Majlis Syura Ulama PAS dan keputusan mengenainya akan diumumkan oleh kepimpinan pusat parti itu.

“Majlis Syura Ulama telah memutuskan dan membuat keputusan, terpulang kepada Pusat bila hendak umum, apa tindakan yang patut diambil.

“Isnin ini, Insya-Allah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada perkara tersebut membabitkan Bersatu, beliau menjawab: “Ya, Bersatu dan semua.”

Menurut Abdul Hadi isu berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia perlu diperhalusi susulan kebimbangan terhadap krisis dan konflik dalaman parti itu yang didakwa boleh menjejaskan kekuatan, kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju Perikatan Nasional.

Beliau sebelum ini turut menyatakan PAS bersedia menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang disifatkan melanggar semangat setia kawan dalam kalangan parti komponen PN.

Dalam masa sama, Abdul Hadi memaklumkan pimpinan PAS Pusat juga akan mendengar taklimat daripada PAS Johor berhubung perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam mesyuarat sama.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik mengenai masa depan hubungan PAS dan Bersatu menjelang situasi politik semasa yang semakin hangat diperkatakan.

Baca juga: Kronologi ringkas krisis takhta di Negeri Sembilan: Apa yang berlaku sebenarnya?