Ramai sokong cadangan Imran Bard supaya MP, ADUN perlu ada kelayakan Degree

Oleh KIM SYAZIE

Pempengaruh media sosial, Imran Bard, menjadi perhatian ramai selepas mengutarakan pandangannya berhubung isu kelayakan akademik dalam kalangan ahli politik, termasuk ADUN, Ahli Parlimen dan menteri.

Menerusi satu perkongsian video di media sosial, Imran berpendapat wakil rakyat yang memegang tanggungjawab besar dalam mentadbir negara sekurang-kurangnya perlu memiliki kelayakan akademik di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Dia juga tidak bersetuju apabila masih terdapat segelintir wakil rakyat yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi meskipun memegang jawatan penting dalam pentadbiran negara.

Situasi itu menimbulkan persoalan kerana rakyat biasa yang ingin memohon pekerjaan pun memerlukan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda bagi mendapatkan peluang kerjaya yang baik serta pendapatan yang lebih stabil.

“Cadangan aku, nak jadi MP atau Adun, basic requirement, sekurang-kurangnya Degree. Sebab kau nak jadi cikgu kau kena ada Degree. Kau nak jadi akauntan kena ada Degree. 

“Kau nak jadi jurutera kena ada Degree. Kenapa nak jadi MP dengan Adun tak perlu ada Degree? Padahal tugas mereka lagi besar. Mereka mewakili rakyat. Mereka adalah pemimpin. Mereka uruskan negara. Kenapa tak perlu ada Degree?

“Bayangkan seorang pemimpin itu bawa isu besar ke Parlimen untuk dibincangkan, dan satu pihak lagi buat lawak dengan isu tersebut. Apa yang kau rasakan? Kau urus negara tau bukan sembang kedai kopi.

“Aku bagi contohlah. Ada seorang MP ini bawa topik pasal kita kena hentikan mat rempit daripada datang (melepak) ke lapangan terbang. Dan pembangkang pula jawab “buat apalah kita nak besar-besarkan. Mereka budak-budak muda”.

“Sepatutnya to proof other point wrong, you need to bring up your point. Tapi kau tak bagi poin, kau cuma nak bergaduh. Kau cuma nak bertekak sahaja,” katanya dalam video tersebut.

Sementara itu di ruangan komen, ramai yang terkejut kerana selama ini tidak terfikir bahawa ada wakil rakyat yang tidak mempunyai sijil kelayakan minimum yang sepatutnya diperlukan.

Mereka juga menyokong dengan cadangan supaya wakil rakyat mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda.

Baca juga: “Usap bawang putih kat gambar suami” – ‘Ustazah’ didakwa ajar amalan syirik