Harga petrol dan diesel kekal minggu ini, subsidi RON95 masih RM1.99!

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini kekal tidak berubah meskipun kerajaan masih menanggung subsidi bahan api yang diunjurkan mencecah sekitar RM3.5 bilion sebulan.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan pada 10 Jun 2026, kementerian itu berkata penetapan harga berkenaan dibuat selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) berdasarkan purata harga pasaran minyak antarabangsa minggu terdahulu.

Menurut kementerian itu, subsidi bulanan bagi RON95 dan diesel pada Januari 2026 dianggarkan sekitar RM700 juta sebelum melonjak hampir RM5 bilion pada Mac dan memuncak sebanyak RM7.5 bilion pada April susulan krisis di Asia Barat ketika harga minyak mentah Brent mencecah AS$120 setong.

“Dengan perkembangan terkini, harga minyak mentah Brent global kini menyederhana sekitar paras AS$90 setong.

“Namun begitu, tanggungan subsidi Kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan,” menurut kenyataan itu.

Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 dianggarkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula kira-kira RM1.5 bilion sebulan.

Walaupun pasaran petroleum global dilihat lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan memaklumkan pasaran antarabangsa masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia.

Menurut kementerian itu lagi, bekalan petroleum negara ketika ini berada pada tahap stabil dan mencukupi susulan perancangan bekalan yang telah disusun bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam tempoh akan datang.

Bagi tempoh 11 hingga 17 Jun 2026, harga runcit RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter, RON95 pada RM3.72 seliter dan diesel di Semenanjung Malaysia pada RM4.67 seliter.

Dalam masa sama, kerajaan turut mengekalkan harga petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI MADANI pada kadar RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima layak.

“Harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter pula membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna,” menurut kenyataan tersebut.

Kerajaan turut menggalakkan rakyat menggunakan bahan api secara lebih cekap dan berhemah melalui perancangan perjalanan yang lebih baik serta pengurangan pembaziran penggunaan bahan api.