“Bukan biasa-biasa punya nota” – Persiapan haji Lisa Surihani jadi inspirasi netizen

Oleh MALAYSIADATELINE

Persediaan rohani pelakon, Datin Lisa Surihani ketika ibadah haji menjadi perhatian ramai selepas nota dan catatan peribadinya mengenai doa serta pengisian agama tular di media sosial.

Video tersebut merupakan perkongsian seorang individu dikenali sebagai Dr Amirul Hassan yang meluahkan rasa kagum terhadap usaha Lisa mendalami ilmu agama sebagai persediaan menghadapi hari-hari penting di Tanah Suci.

Menerusi video berkenaan, Lisa dilihat membuat pelbagai catatan tangan berkaitan doa, ayat al-Quran serta persediaan jiwa sepanjang menunaikan ibadah haji.

“Kagum sangat dengan catatan Hajjah Lisa Surihani sebagai persediaan rohaninya sendiri menghadapi hari-hari haji.

“Banyak doa-doa yang saya kongsi dia sendiri aware dan hafal, masya-Allah,” tulis Dr Amirul Hassan menerusi hantaran tersebut.

Menurut beliau lagi, Lisa turut meminta orang ramai mendoakan agar dirinya terus istiqamah dalam beragama.

Antara yang mencuri perhatian netizen termasuk nota tulisan tangan Lisa berkaitan doa-doa haji, refleksi diri, pengisian rohani serta persiapan mental dan emosi sepanjang berada di Makkah.

Malah, beberapa catatan peribadi dalam bahasa Melayu dan Inggeris turut memperlihatkan kesungguhan Lisa memahami penghayatan ibadah secara lebih mendalam.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji kesungguhan dan kesederhanaan Lisa dalam memperbaiki diri menjelang ibadah haji.

Seorang netizen dikenali sebagai Jun Fairuz turut meninggalkan komen menyentuh hati berkaitan suami Lisa, Datuk Yusry Abdul Halim.

“Yusri hang (anda) kena persiapkan diri, jaga pandanganmu jika kau sayangkan Lisa ni.

“Berat ujian dan dugaan memilik isteri menuju syurga. Masya-Allah Tabarakallah, moga Lisa mendapat haji yang mabrur,” tulisnya.

Selain itu, seorang pengguna lain turut mengaitkan latar belakang akademik Lisa dalam bidang undang-undang dengan cara beliau membuat nota persediaan.

“Dah dia peguam, memang mantap la nota pun,” komen seorang netizen.

Malah ada juga yang berpendapat kebiasaan pelajar undang-undang yang gemar membaca, mencatat dan menghafal menjadi antara faktor Lisa begitu teliti dalam membuat persediaan ibadah.

“Well.. she graduated law kan.. budak law confirm banyak membaca, banyak nota, banyak menghafal.

“Semoga menjadi inspirasi untuk kita jika diberi rezeki dijemput panggilan haji insya-Allah,” tulis seorang lagi pengguna media sosial.

Baca juga: Malaysia-Jepun perkukuh kerjasama bekalan LNG, urus niaga guna Ringgit dan Yen