Sebuah premis dipercayai beroperasi sebagai pusat pembelajaran untuk kanak-kanak etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian di sini dilaporkan menghentikan operasinya selepas isu tersebut tular di media sosial sejak Rabu lalu.
Menurut laporan Kosmo! Online, pemilik bangunan yang tular di Kampung Ladang Titian mendakwa terkejut dengan berita yang tular.
Malah pemilik mendakwa tidak mengetahui premis miliknya telah dijadikan ‘sekolah’ untuk kanak-kanak etnik Rohingya.
Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Ladang, Mohd Qayyum Rosli berkata, pemilik premis berkenaan memaklumkan bangunan itu sebenarnya disewakan kepada seorang penyewa tempatan.
“Premis itu disewakan kepada penyewa Melayu dan pemiliknya mendakwa hanya mengetahui ia telah digunakan sebagai pusat pembelajaran etnik Rohingya selepas tular di media sosial.
“Dia mengambil tindakan menamatkan penyewaan serta-merta dan menutup premis yang dijadikan ‘sekolah’ itu,” katanya.
Mohd Qayyum yang juga Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Ladang Titian berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan pemantauan.
Ini adalah untuk memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Saya akui komuniti Rohingya dilihat makin hari makin bertambah di perkampungan ini kerana meningkatkan risiko keselamatan dan penularan penyakit seperti malaria,” katanya lagi.
Baca juga: SPR akhirnya jawab kenapa tak buat PRN Johor serentak N9, “kami perlukan masa untuk….”