Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan beliau tidak pernah menganggap Umno sebagai musuh dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya kekal bekerjasama demi rakyat.
Beliau yang juga Presiden PKR itu turut menekankan kepentingan menjamin kesejahteraan rakyat dengan menjaga kestabilan politik dan kerjasama dalam kalangan parti-parti gabungan pentadbiran kerajaan.
Perkara ini dapat dilihat menerusi kerjasama beliau dalam pentadbiran dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah.
“Saya bukan nak bermusuh, belah kanan ada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno. Kita bekerja seperti biasa kerana kasih kepada rakyat. Saya ketua Pakatan Harapan.
“Umno, saya tidak pernah anggap mereka sebagai musuh dalam Kerajaan Perpaduan,’’ katanya ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi.
Pemimpin nombor satu negara itu juga sememangnya tidak bersetuju dengan pilihan raya awal bagi Negeri Sembilan memandangkan kerajaan di wilayah Adat Perpatih itu baru memasuki tahun ketiga.
Namun beliau mengakui perkara tersebut tidak dapat dielakkan dan mandat perlu diserahkan semula kepada rakyat susulan tindakan menarik sokongan kepada pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
“Sabarlah sekejap. Selepas itu adakan pilihan raya. Tetapi tidak, nak juga. (Mereka) yakin boleh menumbangkan (kerajaan negeri), bukannya tumbangkan Negeri Sembilan. Tak sabar.” Kesalnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan penetapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai manakala tarikh pengundian untuk Negeri Sembilan pula ditetapkan pada 1 Ogos ini.
Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan krisis ketegangan politik yang berlarutan di negeri itu.
Baca juga: “Malaysia tak dibina atas kebencian kaum dan agama” – Anwar lancar jentera PH Negeri Sembilan