“Malaysia tak dibina atas kebencian kaum dan agama” – Anwar lancar jentera PH Negeri Sembilan

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masa depan negara tidak seharusnya dicorakkan oleh budaya politik yang memecah-belahkan rakyat demi meraih kuasa.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkata sejarah panjang manusia membuktikan pembinaan sesebuah negara dan tamadun memerlukan kesabaran, hikmah serta kebijaksanaan yang tinggi.

Menurutnya, sesebuah negara juga boleh runtuh dengan mudah sekiranya kebencian, perbezaan dan sikap angkuh dibiarkan terus menyemarak dalam masyarakat.

“Membina sesebuah negara atau tamadun menuntut kesabaran yang tinggi, hikmah dan kebijaksanaan, mengelak sikap gopoh serta mempunyai iltizam yang utuh dan jitu.

“Namun untuk meruntuhkannya mudah, yakni dengan memicu kebencian, melebar perbezaan dan sikap angkuh yang dibiar menyemarak,” katanya dalam hantaran rasmi di media sosial.

Anwar berkata, rakyat perlu berani menolak budaya politik yang menjadikan perbezaan kaum dan agama sebagai alat mencapai kuasa politik.

“Malaysia tidak dibina atas asas kebencian antara kaum mahupun agama.

“Malaysia terbina daripada kesediaan generasi terdahulu yang berusaha mencari titik temu dalam kepelbagaian dan mengangkat martabat negara secara bersama,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan masa depan negara perlu dipimpin oleh individu yang mampu menyatukan rakyat serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Masa depan negara mesti dipimpin dan dikemudi oleh mereka yang berani menyatukan, tegar berkhidmat dan menterjemah amanah rakyat dengan sikap tanggungjawab yang tinggi,” ujarnya.

Menurut Anwar, perkara itu antara mesej yang disampaikan ketika meluncurkan jentera pilihan raya Pakatan Harapan bagi Negeri Sembilan pada malam tadi.

Baca juga: SPR akhirnya jawab kenapa tak buat PRN Johor serentak N9, “kami perlukan masa untuk….”