Masjid tampil kreatif, buat tayangan Piala Dunia tarik minat jemaah 

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah masjid di Subang Jaya mendapat perhatian ramai selepas mengambil inisiatif menganjurkan tayangan Piala Dunia 2026 melalui skrin besar bagi menarik peminat bola sepak ke masjid.

Inisiatif kreatif itu dimulakan Masjid Al-Falah USJ 9 menerusi program “Jom Qiam & Layan Bola” yang menggabungkan tayangan langsung perlawanan Piala Dunia 2026, aktiviti qiamullail dan solat berjemaah.

Menurut Pengerusinya, Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, idea program itu tercetus selepas pihak pengurusan masjid melihat ramai peminat bola sepak sanggup berjaga sehingga lewat malam di kedai mamak atau restoran bagi mengikuti perlawanan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Situasi itu memberi ilham kepada pihak masjid untuk menyediakan alternatif yang lebih selesa, selain membuka ruang kepada orang ramai untuk mendekati aktiviti keagamaan.

“Kami menyedari bahawa apabila berlangsungnya kejohanan bola sepak besar seperti ini, ramai akan keluar ke kedai mamak atau restoran sehingga lewat malam semata-mata untuk menonton perlawanan.

“Jadi kami berfikir, daripada mereka berkumpul di tempat-tempat itu, lebih baik masjid menyediakan ruang yang selesa dan terkawal untuk mereka datang menonton bersama,” katanya memetik Malaysiakini.

Piala Dunia Fifa 2026 kali ini berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.

Edisi tahun ini menampilkan 48 pasukan buat kali pertama dan melibatkan 104 perlawanan.

Baca juga: “Dia curi banyak tau” – CEO Zaitun dakwa duit syarikat ‘dirembat’ bekas pekerja