Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Setiausaha Agung Muslim World League, Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Alissa di Putrajaya petang tadi bagi membincangkan perkembangan dunia Islam serta usaha memperkukuh persefahaman antara agama.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut turut menyentuh kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata, sidang berkenaan berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan serta pemimpin masyarakat daripada pelbagai negara dan latar belakang dalam usaha membina persefahaman serta memupuk budaya dialog yang lebih matang.
Anwar Ibrahim bincang hubungan dunia Islam dan Barat
Dalam pertemuan itu, Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Alissa turut berkongsi pandangan mengenai peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa.
Anwar Ibrahim berkata, usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dan Barat amat penting ketika dunia kini berdepan pelbagai konflik dan ketegangan global.
Beliau turut menghargai peranan aktif Muslim World League dalam mempromosikan kesederhanaan, keamanan serta kerjasama rentas agama di peringkat antarabangsa.
Fokus pendidikan, ekonomi dan teknologi dunia Islam
Selain isu perpaduan umat Islam, kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai keperluan memperkukuh kekuatan dunia Islam melalui pendidikan, pembangunan ekonomi serta penguasaan ilmu dan teknologi.
Jelas beliau, nilai keadilan, ihsan dan kemanusiaan sejagat perlu terus diangkat dalam usaha membina masyarakat yang lebih aman dan stabil.
“Kami juga sepakat bahawa masa depan yang lebih aman dan stabil hanya dapat dibina melalui dialog berterusan, sikap saling menghormati serta keterbukaan menjalinkan hubungan erat antara masyarakat pelbagai agama,” katanya.
Pertemuan itu dilihat sebagai sebahagian usaha Malaysia memperkukuh peranan sebagai negara Islam sederhana yang aktif mempromosikan keamanan dan keharmonian di pentas antarabangsa.
Baca juga: PM Anwar muat naik video tunjuk kemeja koyak, kapsyen undang perbincangan hangat!