PM Anwar muat naik video tunjuk kemeja koyak, kapsyen undang perbincangan hangat!

Oleh MALAYSIADATELINE

Perkongsian video dimuat naik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperlihatkan keadaan kemejanya selepas seharian bekerja telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Berdasarkan perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu, kelihatan kemeja milik Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu sudah terkoyak di bahagian lengan.

Namun perkara lebih mencuri perhatian ramai adalah kapsyen ringkas yang ditulis Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sekali gus mengundang tanda tanya orang ramai sekiranya ia memiliki maksud tersirat.

“Baju koyak takpa, jangan….,” tulisnya dengan ringkas menerusi hantaran yang kini sudah berjaya meraih sebanyak 1.1 juta tontonan dan 11,400 tanda suka daripada pengguna Facebook itu.

Difahamkan, rakaman tersebut diambil ketika beliau berada dalam pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kinabalu selepas selesai mengadakan kunjungan rasmi dalam rangka lawatan kerja sehari di Sabah.

Tinjauan mendapati Anwar mengenakan pakaian tersebut untuk menghadiri acara makan malam bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, TYT Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman di Istana Seri Kinabalu sebelum berlepas pulang.

Rata-rata pengguna Facebook membanjiri ruangan komen itu dengan berkongsi pelbagai andaian mengenai punca baju kemeja tersebut koyak seperti tersekat pada pintu.

Namun ramai juga pengguna meluahkan rasa kagum kerana pemimpin nombor satu negara itu cukup jarang mengenakan pakaian yang berjenama malah sering menggunakan baju sama berulang kali sehingga menyebabkannya mudah koyak.

“Terkoyak secara tidak sengaja mungkin disebabkan oleh penggunaan yang kerap atau pencucian kering. Namun bagi mereka yang benar-benar kenal Anwar, pasti faham jawapannya,” kata seorang pengguna.

“Inilah baju yang diulang-ulang, beliau guna pakai. Walhal beliau seorang Perdana Menteri. Tiada Louis Vuitton, Versace. Semoga Allah SWT memberkati.” Kongsi pengguna lain dalam ruangan komen.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan selama satu hari ke Negeri Di Bawah Bayu itu dalam jadual cukup padat dimulakan dengan merasmikan majlis Pecah Tanah Sabah Southern MADANI Link di Dewan Lundayeh, Sipitang pada 11 pagi.

Beliau kemudian menghadiri Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu sekitar jam 2.30 petang.

Anwar seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Pekarangan Kompleks Sukan Likas kira-kira pada pukul 4 petang.

Baca juga: “Nak duit belanja” – Netizen dakwa budak perempuan sama muncul minta duit di lokasi berbeza