Kadar inflasi Malaysia dijangka kekal terkawal antara 1.5 dan 2.5 peratus sepanjang tahun ini walaupun perlu berdepan tekanan daripada kesan krisis bekalan tenaga dan ketidaktentuan geopolitik global.
Malah setakat ini, kadar inflasi negara yang terkini dicatatkan pada kadar 1.9 peratus sekali gus jauh lebih rendah daripada unjuran inflasi global iaitu sebanyak 4.3 peratus.
Difahamkan, kawalan kadar inflasi adalah hasil intervensi kerajaan yang komited memastikan ketidaktentuan ekonomi global ini tidak memberikan kesan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Berikut kami senaraikan antara usaha yang dilakukan kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mengawal kadar inflasi sekali gus memastikan ekonomi negara kekal stabil.
1. Pelaksanaan Subsidi Bersasar
Kenaikan kadar inflasi didorong oleh kenaikan kos pengangkutan, bahan api, serta ketidaktentuan geopolitik global yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga.
Sehubungan dengan itu, pelaksanaan subsidi bersasar termasuk BUDI MADANI dan pengawalan harga bahan api menjadikan kadarnya yang jauh lebih rendah berbanding kos pasaran sebenar.
Kerajaan meneruskan langkah mitigasi antaranya melalui penyaluran subsidi bahan api secara bersasar serta kawalan kos logistik menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
2. Kawalan Harga Barang Terpilih
Kadar inflasi di Malaysia dihitung berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu satu indeks harga yang menggambarkan perubahan harga purata bagi barangan dan perkhidmatan dalam perbelanjaan isi rumah purata di negara ini.
Sehubungan dengan itu, penetapan harga maksimum untuk barangan kawalan seperti minyak masak, tepung, dan telur dapat membantu mengelakkan kenaikan kos sara hidup secara berlebihan.
3. Pengurusan Dasar Monetari:
Pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia membantu dalam mengawal aliran wang dalam pasaran sekali gus dapat membendung tekanan inflasi daripada permintaan domestik yang melampau.
Kerajaan juga menyediakan tambahan pembiayaan sebanyak RM5 bilion melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan kemudahan Bank Negara Malaysia bagi menyokong kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKPS).
Tekanan inflasi ini bagaimanapun boleh meningkat pada suku kedua tahun jika krisis global berlarutan diakibatkan kenaikan kos berkaitan bekalan minyak dan input barangan yang diperlukan untuk mengekalkan aktiviti ekonomi.
Baca juga: Hampir 6,000 anggota polis siap siaga, PRN Negeri Sembilan dijangka panas