Baru-baru ini tular rakaman memperdengarkan suara seorang individu dipercayai pemandu e-hailing yang meluahkan rasa kesalnya kerana tidak dapat ‘meminjam’ kuota subsidi minyak BUDI MADANI RON95 milik penumpangnya.
Kejadian berlaku ketika penumpang itu sedang merakam video memperlihatkan wajahnya sendiri sebelum terdengar suara pemandu terbabit meminta izin untuk singgah ke stesen minyak terlebih dahulu sebelum ke destinasi tujuannya.
Selepas mendapatkan kebenaran, pemandu itu memberhentikan kenderaannya dan sempat memaklumkan bahawa baki BUDI95 miliknya sudah habis sebelum meminta meminjam kad pengenalan milik penumpang wanita terbabit.
Tindakan dipercayai bertujuan untuk menggunakan kuota subsidi penumpang namun wanita terbabit bertegas tidak mahu menyerahkan kad pengenalannya dengan memaklumkan bahawa dirinya tidak mendapat kelayakan BUDI95.
“Saya punya BUDI sudah habis. Kakak ada kad pengenalan, ada BUDI? Sedikit pun tiada? Memang tak dapat ke macam mana? Pinjam BUDI pun kedekut!,” kata pemandu itu sebelum menghempaskan pintu keretanya dengan kuat.
Rakaman itu kemudian dimuat naik di platform Threads sekali gus mengundang perbincangan hangat dengan rata-rata pengguna menyelar tindakan pemandu e-hailing kerana kerajaan sudah memberikan kuota tambahan kepada mereka.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian pihak syarikat e-hailing terlibat yang memaklumkan bahawa tindakan pemandu berkenaan sememangnya salah sebelum meminta maklumat tempahan untuk tindakan lanjut.
Namun susulan rakaman tersebut tersebar di pelbagai media sosial lain, timbul pula persoalan di kalangan pengguna platform X sama ada kejadian itu benar-benar berlaku atau sekadar kandungan (content) semata-mata.
Sekadar info, pemandu e-hailing di Malaysia layak menerima kuota subsidi petrol BUDI95 tambahan sehingga 800 liter sebulan dengan harga sama iaitu RM1.99 seliter berdasarkan jarak perjalanan bulanan mereka.
Baca juga: Patutlah kadar inflasi Malaysia terkawal, ini langkah campur tangan kerajaan yang ramai tak tahu