Isteri kepada usahawan terkenal, Datin Seri Shahida Mohd Rashid meluahkan rasa tidak puas hati terhadap salah seorang hos siaran langsung syarikat itu kerana didakwa memanipulasi angka jualan ketika bersiaran langsung.
Menerusi satu hantaran di Threads, Shahida menegur pekerjanya yang didakwa meminta ahli keluarga atau pasangan mereka membuat pembelian bernilai ribuan ringgit ketika sesi siaran langsung berlangsung bagi meningkatkan jumlah jualan yang direkodkan.
Menurutnya, selepas angka jualan direkodkan, pesanan itu kemudiannya dibatalkan atau dipulangkan semula.
“Hos siaran langsung beli barang sendiri atau minta ahli keluarga atau teman lelaki mereka beli ketika mereka sedang menjadi hos. Lepas ambil angka jualan dan figure sales, selepas itu semua pesanan dibatalkan semula,” katanya.
Shahida menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak beretika dan menegaskan bahawa individu terlibat sepatutnya menjalankan tugas dengan jujur tanpa menggunakan taktik sedemikian untuk meningkatkan prestasi jualan.
“Yang ada-ada je korang ni buat perangai. Tak boleh ke duduk je kerja elok-elok. Kenapa nak kena buat perangai sampah! Sekali beli tu RM8,000 hingga RM10,000 juga. Apa dia ingat kita ni bodoh sangat ke?,” ujarnya lagi
Sementara itu di ruangan komen, ramai yang memberi saranan supaya usahawan terbabit membuat pengiraan angka jualan yang diraih setiap hos, secara bulanan dan bukan harian.
Ia dapat membantu untuk mengurangkan taktik penipuan. Mereka mencadangkan agar komisen hos siaran langsung diberikan mengikut angka jualan sebenar setelah syarikat menolak jumlah pelanggan yang ‘return parcel’ dan ‘cancel order’.
Baca juga: Pemandu e-hailing marah penumpang tak ‘kongsi’ subsidi? – “Pinjam BUDI pun kedekut!”