Pilihan raya jadi medan penentu apakah Malaysia akan terus dipacu oleh politik lama yang sarat kebencian dan salahguna kuasa atau terus bergerak ke hadapan sebagai tatanan berpaksi pada prinsip pertanggungjawaban, keadilan dan ihsan.
Sehubungan dengan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru bangsa Johor berdiri teguh mempertahankan politik harapan yang menyatukan serta mencambahkan kasih sayang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Perkara tersebut dikongsikan Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menerusi hantaran dimuat naik di platform Facebook beberapa gambar memaparkan sesi beramah mesra beliau bersama rakyat di Muar.
Menurutnya lagi, pentadbiran Kerajaan Madani kini telah membuktikan bahawa perjuangan tersebut bukanlah sekadar slogan semata-mata sebaliknya dibuktikan dengan pencapaian demi pencapaian hasil daripada tatakelola yang baik.
“Perjuangan kita tidak pernah semata soal memenangi pilihan raya. Kita telah membuktikan bahawa apa yang didambakan itu tidak sekadar slogan. Tatakelola diperketat, ketirisan diperangi, pelaburan dipertingkat dan keyakinan dunia terhadap Malaysia memulih.
“Dengan dukungan rakyat, kita akan terus bekerja dengan lebih gigih mengangkat martabat negara dan memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang kuat, saksama dan bermaruah,” katanya yang juga Presiden PKR itu dalam perkongsian tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan bahawa hasil perjuangan tersebut masih jauh dari sempurna sifatnya namun memberi jaminan bahawa Kerajaan Madani akan giat memperbaiki setiap kelemahan demi kesejahteraan rakyat.
Namun demi mencapai hasrat tersebut, sokongan dan kerjasama rakyat sangat diperlukan terutama daripada pengundi Johor dengan memberikan undian mereka kepada calon yang tepat pada PRN kelak.
“Masih banyak yang perlu diperbetul, masih ramai rakyat yang perlu dibela dan disantuni, masih banyak suara yang perlu didengar, masih melata lompong-lompong sistem yang perlu ditutup, serta serba serbi permasalahan lain yang perlu diberi tumpuan dan diharungi bersama.” Ujarnya.
Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR itu hadir dalam program Ceramah Umum PH dengan tema ‘Keadilan untuk Bangsa Johor’ di Bukit Bakri, Muar malam semalam.
Baca juga: “Apa sangat sacrifice masa” – Anwar seru pengundi Johor di Singapura pulang mengundi