Betul ke dah tak ada lagi caj RM1 dekat ATM bulan depan?

Oleh KIM SYAZIE

Bermula 1 Julai ini, rakyat tidak lagi perlu membayar caj RM1 setiap kali membuat pengeluaran tunai antara bank di mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin Smart Recycle Machine (SRM), sekali gus memberi penjimatan kepada jutaan pengguna perbankan di seluruh negara.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) yang memaklumkan pengecualian caj tersebut akan melibatkan semua ATM dan SRM yang dikendalikan bank di Malaysia.

Dengan pelaksanaan inisiatif itu, pemegang kad debit Malaysia kini boleh mengeluarkan wang tunai di lebih 14,000 ATM dan SRM tanpa mengira bank pengeluar kad, sekali gus menikmati kemudahan pengeluaran tunai antara bank secara percuma tanpa had.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sebagai sebahagian daripada usaha industri perbankan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah diakses, inklusif dan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, inklusif dan mampu milik,” menurut kenyataan tersebut.

Pemansuhan caj RM1 itu juga bertujuan memastikan akses kepada wang tunai terus kekal mudah, boleh dipercayai dan berpatutan, selain membantu mengurangkan beban kos harian yang ditanggung pengguna.

Sebelum ini, pelanggan lazimnya dikenakan caj RM1 apabila mengeluarkan wang di ATM milik bank lain, sekali gus menyebabkan kos tambahan terutama kepada mereka yang kerap menggunakan kemudahan tersebut.

Walaupun menghapuskan caj pengeluaran tunai antara bank, industri perbankan menegaskan ia akan terus menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital dan tanpa tunai yang lebih selamat, mudah serta lancar untuk transaksi harian.

Pada masa sama, bank-bank di negara ini komited memberi kebebasan kepada pelanggan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan masing-masing, sambil terus memperkukuh agenda rangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan di Malaysia.

Langkah pemansuhan caj ini dijangka memberi manfaat kepada jutaan pelanggan bank di seluruh negara, terutama golongan yang masih bergantung kepada transaksi tunai dalam urusan harian mereka.

Baca juga Patutlah kadar inflasi Malaysia terkawal, ini langkah campur tangan kerajaan yang ramai tak tahu