Pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin menyaksikan perbincangan pelbagai aspek kerjasama dua hala terutama dalam bidang strategik bagi kedua-dua buah negara.
Kerjasama antarabangsa itu bukan sahaja membantu pertumbuhan ekonomi negara malah juga mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat.
Berikut adalah antara inti pati perbincangan dilakukan dalam pertemuan tersebut berdasarkan perkongsian Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu di akaun Facebook miliknya.
- Perkukuh hubungan dalam sektor tenaga – Menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Persekutuan Rusia memberi sokongan jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
- Teroka kerjasama dalam pebagai bidang – Membincangkan peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
- Pemansuhan visa – Perbincangan mengenai inisiatif ini adalah antara usaha dilakukan kerajaan untuk memudahkan cara pergerakan rakyat di negara itu.
- Perdagangan menggunakan mata wang tempatan – Meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang Ringgit dan Ruble.
Anwar dalam pertemuan tersebut turut menyampaikan salam Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di samping menzahirkan penghargaan atas layanan mesra dan penghormatan yang sentiasa diberikan Rusia kepada Malaysia.
Pemimpin nombor satu negara itu turut mengambil kesempatan untuk memuji pendirian Putin yang konsisten dan berprinsip dalam menyuarakan pandangan berhubung isu Gaza dan Iran.
“Kerajaan Madan akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat.” Ujar Anwar dalam hantaran itu.
Sekadar info, Malaysia dan Rusia berkerjasama dalam sektor tenaga khususnya melalui Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan PJSC Rosneft Oil Company iaitu antara syarikat minyak dan gas awam terbesar dunia.
Dalam pada itu, eksport utama Malaysia ke Russia adalah merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta produk makanan yang diproses.
Manakala import utama Rusia yang juga rakan dagang kesembilan terbesar dari kalangan negara Eropah pada 2025 itu adalah produk petroleum, mineral, bahan kimia dan bahan berasaskan kimia.
Baca juga: Anwar gesa ASEAN, Rusia perkukuh kerjasama hadapi ketidaktentuan global