Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa matlamat utama setiap dasar dan kerjasama ekonomi adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat ketika berucap pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia hari ini.
Menurut beliau, dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan global serta persaingan teknologi yang semakin sengit.
Ini sekali gus menuntut negara-negara untuk memperkukuh kerjasama dan tidak bergerak secara bersendirian.
Dalam ucapannya, Anwar memetik kata-kata penyair terkenal Tatarstan, Abdullah Tukay, bahawa “only in serving the people do I admit true happiness”, yang menurutnya menjadi peringatan bahawa pembangunan ekonomi perlu berpaksikan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, ASEAN telah membuktikan dirinya sebagai antara rantau ekonomi paling dinamik dan berdaya tahan di dunia, berasaskan prinsip keterbukaan, keterangkuman serta kerjasama serantau.
“Dalam semangat yang sama, ASEAN dan Rusia mempunyai potensi besar untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang strategik seperti keselamatan makanan, tenaga, teknologi digital, pendidikan dan pembangunan bakat,” katanya.
Anwar turut mengalu-alukan pembangunan Program Strategik ASEAN-Rusia bagi Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026–2035 yang dijangka memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak.
Beliau menegaskan ASEAN akan terus mempertahankan sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berpandukan peraturan yang dipersetujui bersama.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, daya tahan ekonomi mesti diperkukuh tanpa mengorbankan semangat kerjasama,” katanya.
Tambah beliau, segala persefahaman yang dicapai perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu menjana peluang ekonomi, mencipta kemakmuran dan membawa manfaat nyata kepada rakyat di seluruh rantau.
Baca juga: Malaysia teroka kerjasama dengan Tatarstan, wilayah pengeluar minyak utama Rusia – PM Anwar