Di sebalik krisis global, ini pesanan penting Mat Sabu kepada anak muda

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyeru golongan mahasiswa agar menjadi generasi yang peka terhadap isu semasa, berani berfikir secara kritis serta tampil dengan idea dan penyelesaian demi masa depan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ministerial Forum: Keterjaminan Makanan Menuju Malaysia MADANI: UNITY 2026 bersama mahasiswa di Universiti Malaya, petang semalam.

Menurut Mohamad, perkembangan geopolitik dunia yang semakin kompleks ketika ini memberi kesan langsung kepada pelbagai sektor penting negara termasuk keterjaminan makanan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita sedang berhadapan dengan landskap geopolitik dunia yang semakin kompleks.

“Sebarang perubahan yang berlaku di peringkat global pastinya akan memberi kesan langsung kepada keterjaminan makanan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat negara ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa atas sebab itu, Malaysia perlu terus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

“Perjanjian dan kerjasama antarabangsa yang dibentuk bukan sekadar hubungan diplomatik semata-mata.

“Tetapi merupakan usaha penting untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memastikan kestabilan negara dalam mendepani cabaran semasa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mohamad turut menitipkan pesanan khusus kepada golongan mahasiswa agar sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan memperkaya pemikiran melalui pembacaan serta perbincangan yang sihat.

“Luaskan ilmu dengan pembacaan dan budayakan perbincangan yang sihat. Mahasiswa mesti peka dengan isu semasa, berani berfikir, berhujah dan menawarkan penyelesaian,” tegas beliau.

Beliau berkata generasi muda perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membentuk masa depan negara dengan menyumbang idea yang bernas dan berasaskan ilmu.

“Masa depan Malaysia berada di tangan generasi muda yang berilmu, berfikiran kritis dan bersemangat untuk menyumbang kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa mahasiswa agar terus berusaha memperkasa diri dan tidak berhenti mengejar kecemerlangan.

Baca juga: “Saya masih miliki satu isteri” – PM Anwar singkap jenaka ‘second wife’ dengan Putin