Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar satu rangkaian sindiket penyelewengan minyak masak paket bersubsidi.
Ini adalah menerusi tiga serbuan berasingan hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan Bahagian Penguat Kuasa KPDN bersama beberapa agensi penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata serbuan dijalankan di dua premis di Seremban, Negeri Sembilan dan sebuah premis di Seri Kembangan, Selangor yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan serta pemprosesan minyak masak paket bersubsidi secara haram.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati premis-premis terbabit digunakan untuk menyimpan sejumlah besar minyak masak paket bersubsidi dan cecair disyaki minyak masak.
Kesemua minyak berkenaan ditempatkan di dalam tangki IBC, tong simpanan serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan, pemotongan dan penyimpanan minyak masak sebelum diedarkan semula.
“Siasatan awal mendapati pengendali premis gagal mengemukakan lesen atau dokumen yang sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual sebagaimana dikehendaki di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Modus operandi sindiket dipercayai melibatkan lapan jenama tempatan dan pembekal yang mempunyai lesen barang kawalan.
“Sindiket mendapatkan bekalan minyak masak paket bersubsidi daripada pembungkus atau pemborong sebelum dihantar ke premis haram untuk dipotong daripada bungkusan asal,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata, minyak masak yang dikumpulkan itu kemudiannya disimpan di dalam tangki IBC sebelum dipercayai dijual kepada pihak ketiga termasuk pengusaha Used Cooking Oil (UCO) bagi memperoleh keuntungan lebih tinggi.
Dalam operasi tersebut, pasukan serbuan menyita pelbagai barang termasuk minyak masak paket bersubsidi, cecair disyaki minyak masak, tangki IBC, pam, hos penyambung, forklift, lori, telefon bimbit, kotak pembungkusan serta peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan berkenaan.
“Secara keseluruhan, lebih 59,000 kilogram minyak masak dan cecair disyaki minyak masak telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM393,040,” katanya.
Azman berkata, sembilan individu turut ditahan bagi membantu siasatan yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan enam warga asing.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
Beliau menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu dan syarikat lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket tersebut.
“KPDN memberi amaran tegas bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan dan bersubsidi.
“Mana-mana pihak yang didapati terlibat akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanyaOperasi licik minyak masak subsidi tumpas, nilai rampasan cecah RM393,040.