Tiba 3.30 pagi di Malaysia, Anwar Ibrahim terus bekerja demi masa depan rakyat

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keletihan bukan penghalang untuk terus melaksanakan tanggungjawab demi rakyat dan negara walaupun baru pulang daripada lawatan kerja ke Rusia dan Turkmenistan.

Menurut beliau, lawatan tersebut penting bagi memastikan masa depan negara terus terjamin, khususnya dalam aspek tenaga ketika dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan serta cabaran baharu.

“Malam tadi saya ke Seremban untuk menghadiri Majlis Makan Malam Rimbunan Hati anjuran Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia bersama sahabat-sahabat lama yang setia bersama dalam perjuangan sejak sekian lama.

“Beberapa hari lalu saya berada di Rusia dan Turkmenistan untuk mengadakan beberapa pertemuan penting demi memastikan masa depan negara terus terjamin, khususnya dalam aspek tenaga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, beliau tiba di tanah air sekitar jam 3.30 pagi sebelum meneruskan tugasan rasmi di Pulau Pinang dan seterusnya menghadiri program di Seremban.

“Saya tiba di tanah air sekitar jam 3.30 pagi sebelum meneruskan tugasan di Pulau Pinang dan seterusnya ke Seremban.

“Keletihan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan amanah untuk memastikan anak-anak kita mewarisi sebuah negara yang aman, stabil dan mempunyai masa depan yang lebih baik.

“Saya percaya kepimpinan bukan soal kedudukan atau kemegahan.

“Ia adalah tanggungjawab untuk berkhidmat dengan ikhlas, menjaga kepentingan rakyat dan melakukan yang terbaik demi negara tercinta,” tegasnya.

Menurutnya, cabaran sebenar negara bukanlah perbezaan kaum atau agama, tetapi rasuah, penyelewengan serta pihak yang terus meniupkan sentimen kebencian dan perkauman.

“Kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bermuafakat, saling menghormati dan bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa yang berkongsi cita-cita serta masa depan yang sama,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan doa, sokongan dan persahabatan sepanjang perjuangannya berkhidmat untuk negara.

Baca juga: PM Anwar lantik penasihat ‘tanpa elaun’, perkukuh kerjasama industri semikonduktor dan IPT