PM Anwar lantik penasihat ‘tanpa elaun’, perkukuh kerjasama industri semikonduktor dan IPT

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ketua Pegawai Eksekutif MKS Instruments, John T.C Lee sebagai penasihat dalam membantu memperkukuh kerjasama antara industri semikonduktor dengan institusi pengajian tinggi (IPT).

Hal ini kerana kerjasama lebih kukuh antara universiti dan pihak industri sangat diperlukan terutama dalam memastikan graduan tempatan dilengkapi dengan kemahiran relevan dengan sektor yang kini sedang berkembang pesat.

Malaysia juga perlu terus menimba ilmu daripada peneraju industri sendiri dan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran mereka terutamanya dalam sektor strategik termasuk semikonduktor dan teknologi termaju.

Sehubungan itu, pengalaman Lee dalam industri semikonduktor akan membantu kerajaan dalam usaha menambah baik dasar, kemudahan, dan pembangunan bakat demi menyokong pelaburan teknologi tinggi di Malaysia.

Memetik laporan Free Malaysia Today, perlantikan Lee diumumkan hari ini dalam majlis pelancaran kilang Super Center MKS Instruments di Batu Kawan, Pulau Pinang dengan melibatkan pelaburan sebanyak AS$100 juta.

“Kita tidak ada semua jawapan dan kita juga tidak mengatakan tahu segala-galanya, terutama apabila teknologi tersebut adalah baharu. Sebab itulah saya melantik beliau (Lee) sebagai penasihat,” kata Anwar memetik laporan itu.

Lee yang tidak menerima gaji atau elaun itu juga akan memberikan sumbangan input berkaitan kaedah terbaik boleh diaplikasikan Malaysia bagi mempermudah dan mempercepatkan pelaburan dalam sektor teknologi baharu tersebut.

Sekadar info, kilang tersebut yang dijangka menyediakan hampir 1,000 peluang pekerjaan untuk menyokong pengeluaran peralatan fabrikasi wafer bagi pasaran semikonduktor serantau dan global.

Baca juga: Selepas 30 tahun, ini inti pati perjanjian kerjasama baharu Petronas dengan Turkmenistan