Satu video berdurasi 30 saat tular di media sosial selepas seorang wanita bertudung mempromosikan pakaian dalam wanita dengan menggayakannya di luar baju.
Tindakan peniaga wanita tersebut mengundang kecaman ramai kerana dianggap bertentangan dengan adab berniaga menurut Islam.
Ia juga mendapat perhatian pejabat Mufti Kelantan yang tampil menegur perbuatan tidak wajar dilakukan seorang wanita beragama Islam yang menutup aurat.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, meskipun dari sudut hukum wanita berkenaan dilihat menutup aurat dengan sempurna, namun aspek adab dan etika tetap perlu diberi perhatian terutama dalam urusan perniagaan yang melibatkan tontonan umum.
“Memang dia tutup aurat tetapi dari segi etika itu tidak berapa sesuai kerana perkara seperti itu sudah sedia maklum dan ada cara lain yang boleh digunakan.
“Kalau di kedai jahit pun ada replika untuk menunjukkan cara pemakaian sesuatu produk, jadi kenapa tidak gunakan alternatif seperti itu,” katanya memetik Utusan Malaysia semalam
Lapor portal itu, Mohamed Shukri menasihatkan para peniaga seharusnya sentiasa mematuhi nilai akhlak Islam dalam menjalankan perniagaan dan tidak terlalu ghairah mempromosikan produk sehingga menimbulkan persepsi kurang baik dalam masyarakat.
Katanya, setiap individu Muslim perlu menjadikan etika Islam sebagai panduan utama dalam setiap tindakan dan memastikan ia diamalkan secara konsisten.
Baca juga: Kes belum selesai, Chegubard diperintah bela diri kes fitnah Agong