Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan ke Segamat, Johor semalam untuk menghadiri program dan menyantuni warga penduduk di kawasan tersebut.
Peluang tersebut digunakan oleh para penduduk untuk bertemu secara langsung dengan pemimpin nombor satu negara itu termasuklah salah seorang peminat tegarnya.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform Facebook, Anwar berkongsi rakaman ketika didatangi oleh seorang penduduk Segamat yang mengakui sudah lama meminatinya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu melayaninya dengan ramah dan sempat mengusik peminat terbabit dengan mengatakan wajahnya kelihatan muda serta bertanyakan rahsianya.
Wanita terbabit kemudian meminta untuk mengambil gambar bersama sebelum Anwar kemudian berseloroh ‘Ini Azizah tengok, jealous (cemburu) juga tahu’ sekali gus mengundang gelak tawa ramai.
“Jumpa peminat tegar di Segamat tadi. Sempat mengusik dan bergambar. Azizah (isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) jangan cemburu ya,” katanya dalam ruangan kapsyen hantaran video itu.
Sekadar info, tujuan kunjungan itu adalah untuk melancarkan Program MADANI KITA bersama-sama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat dengan membawa harapan Memaknai Harapan Rakyat, Memperkukuh Komuniti MADANI.
Program tersebut dianjurkan sebagai platform untuk memperkukuh semangat kejiranan, mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum serta menyampai maklumat mengenai inisiatif dan manfaat kerajaan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Anwar turut mengambil peluang mendekati masyarakat dalam suasana lebih santai dengan menghadiri program ‘Jom! Makan Durian’ bersama komuniti setempat di Tapak Bazar Yayasan, Segamat sekitar jam 6.30 petang.
Baca juga: Geran KRT naik RM10,000, ini tiga pengumuman penting Anwar di Johor