Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa peruntukan baharu bagi memperkukuh aspek keselamatan, pendidikan Islam dan perpaduan masyarakat ketika menghadiri program di Segamat, Johor hari ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata kerajaan meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM), pembaikan infrastruktur asas institusi pendidikan Islam serta peningkatan kadar geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Menurut infografik yang dikongsikan, sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan bagi membaik pulih infrastruktur asas di 16 pondok dan tahfiz di Johor.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan RM1 juta bagi kerja-kerja baik pulih kritikal dan mendesak melibatkan kuarters PDRM di negeri berkenaan.
Dalam masa sama, Anwar mengumumkan kadar geran tahunan bagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.
Peningkatan itu dijangka memberi ruang kepada KRT untuk melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan dan aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Di Segamat hari ini, saya umumkan kelulusan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih kuarters polis, pembaikan infrastruktur asas institusi pendidikan Islam serta peningkatan geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Johor.
“Mudah-mudahan usaha ini dapat memperkukuh keselamatan, memajukan pendidikan dan menyuburkan semangat perpaduan dalam masyarakat demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” katanya.
Pengumuman itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempertingkat kemudahan awam, memperkasa institusi pendidikan Islam dan mengukuhkan perpaduan komuniti menerusi penglibatan aktif Kawasan Rukun Tetangga.