Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, turun padang menyantuni orang ramai sempena program Jualan Agro MADANI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pagi tadi.
Menerusi perkongsian di media sosial, beliau yang mesra dipanggil Bang Mat berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai penduduk hadir membeli barangan keperluan harian sambil berpeluang beramah mesra dengannya.
Menurut beliau, Jualan Agro MADANI adalah antara inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membantu rakyat membeli barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.
Beliau berkata, pengguna boleh menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran, sekali gus meringankan beban perbelanjaan isi rumah.
“Setiap kali rakyat datang membeli, mereka dapat berjimat dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kos sara hidup.
“Bagi Bang Mat, kalau rakyat boleh berjimat walaupun sedikit setiap kali membeli, itu sudah cukup memberi makna kepada sebuah keluarga,” katanya.
Mohamad berkata, kerajaan akan terus memperluaskan pelaksanaan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam usaha menangani peningkatan kos sara hidup.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI bukan sekadar mengumumkan pelbagai inisiatif, sebaliknya terus melaksanakan program yang memberi impak kepada masyarakat.
“Kerajaan MADANI hari ini bukan sekadar bercakap, tetapi terus bekerja.
“Banyak inisiatif telah dilaksanakan untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup dan Jualan Agro MADANI adalah salah satu daripadanya.
“Insya-Allah, Bang Mat akan terus berusaha memastikan lebih banyak program yang memberi manfaat dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Baca juga: Pemimpin paling disenangi: PM Anwar tak terkulai pujian, jadi pemangkin kerja lebih keras